’Bukan Duta Pasaraya, Saya Pemegang 10 Peratus Saham’ -Rosyam Nor Mohon Henti Dakwaan Tidak Berasas

Posted on

Pelakon dan usahawan terkenal, Datuk Rosyam Nor mengakui beliau hanya memegang saham 10 peratus dalam perniagaan pasaraya ST Rosyam Mart.

Ketika ditemui di majlis sidang media bersama beliau dan wakil dari syarikat Sri Ternak Sdn Bhd, pelakon berusia 51 tahun ini turut menjawab segala dakwaan yang dilemparkan oleh individu bernama Mohd Fauzi di Facebook.

“ Saya tidak nampak sebarang masalah di sini. Kenapa pula kita tidak boleh bekerjasama dengan bangsa lain untuk membina empayar?

“ Saya datang dari keluarga anak susah dan memasang impian memiliki empayar sendiri di bawah jenama sendiri. Amat mustahil bagi seorang individu seperti saya untuk memulakan perniagaan sebesar ini tanpa sokongan rakan kongsi,” tegasnya.

Tambah Rosyam, dakwaan mengatakan dia tiada hak langsung dalam pengurusan pasaraya ini sama sekali tidak tepat.

“ Saya juga merupakan pemegang saham dalam pasaraya ini. Walaupun jumlahnya hanya 10 peratus dan nama pasaraya menggunakan nama saya.

“ Perlu tahu, kos membuka sebuah pasaraya dengan kapasiti menampung seramai 5,000 orang dalam sehari memerlukan sekitar RM 20 juta ringgit. Mana mungkin saya mampu mendapatkan modal sebegitu besar memandangkan saya juga datang dari kawasan setinggan,” luahnya.

Dalam masa sama, beliau juga tidak pernah mengatakan bahawa ST Rosyam Mart adalah dimiliki sepenuhnya secara peribadi.

Akui Rosyam untuk mendapatkan setengah daripada modal membuka pasaraya juga mustahil bagi dirinya.

“ Atas alasan itu juga menjawab kenapa saya hanya memegang 10 peratus dalam pasaraya ST Rosyam Mart. Saya juga tiada pengalaman dalam bidang ini. Terima kasih kepada Datuk Raymond dan Ho Ah Chai yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya selama ini,” katanya.

Pasaraya ST Rosyam Mart mula beroperasi sejak 1 Jun lalu di kawasan strategik di Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Jenama ST Rosyam mula mendapat perhatian ramai apabila menjual barang dapur di bawah harga pasaran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.