“Papa, Duit Belanja Kena Tambah 50 Sen. Makanan Kat Kantin Dah Naik Harga” Budak Sekolah Mengeluh

Posted on

Mana ada peniaga tidak mahu untung. Tapi menyerapkan kos yang mereka tanggung ke kantung murid boleh dikira melampau!

“Papa, duit belanja kena tambah 50 sen. Makanan kat kantin dah naik harga,” keluh Haqeem dan Adam sebaik sahaja pulang dari sekolah. Kata mereka, nasi lemak dan makaroni naik 50 sen, roti telur naik 30 sen. Mereka ada tanya acik kantin dan jawapan yang diterima – “Semua barang dah naik harga nak oi!”

Hairan juga. Cukai barang dan perkhidmatan (GST) sudah mansuh, harga minyak sudah turun, tapi harga makanan di kantin sekolah boleh naik pula. Mungkin kos bahan mentah makin hari makin meningkat menyebabkan pengusaha kantin sekolah tiada pilihan lain.

Namun menaikkan harga makanan sehingga 50 sen untuk dijual kepada murid rasanya perlu diberikan perhatian oleh pihak berwajib. Cukup, saya tidak mahu mengulas lanjut. Biarlah ibu bapa dari sekolah sama yang saya temui memberikan pandangan mereka.

Bagi Zainal Abidin, 50, yang bekerja sendiri, agak munasabah kalau pengusaha kantin meletakkan harga sedemikian sebab kos untuk mengoperasikan kantin semakin meningkat. Ini berpunca akibat harga bahan mentah sendiri pun banyak yang naik.

“Kita lihat sendiri harga di pasaran. Kalau peniaga naikkan harga, pengusaha kantin pun terpaksalah ambil tindakan serupa. Mereka mungkin tertekan, sebab harga daripada pembekal pun sudah mahal.

“Mahu tak mahu, mereka terpaksa naikkan harga. Mana ada peniaga nak rugi,” ujarnya.

Memang betullah kata Zainal, mana ada peniaga tidak mahu untung. Tapi menyerapkan kos yang mereka tanggung ke kantung murid boleh dikira melampau! Tindakan itu sekali gus membebankan ibu bapa. Sebagai ‘mangsa’, ibu bapa terpaksa reda sahajalah. Bertambah lagilah duit keluar dari dompet sebab anak-anak nak makan.

Pandangan sama diberikan oleh Wong Yew Onn, 61. Menurutnya, di mana-mana pun banyak barang semakin mahal. Rakyat terpaksa menerima hakikat yang kos sara hidup kian meningkat. Walau bagaimanapun, harga makanan di kantin sekolah naik sehingga 50 sen adalah keterlaluan.

“Tak okay macam ni. Sini semua budak-budak. Belanja budak sekolah sekarang sudah mahal, kurang-kurang RM5 sehari. Sekali makan, minum sudah RM2, RM3. Selebihnya benda-benda lain macam tambang pun nak kena bayar.

“Makin susahlah orang macam saya,” katanya yang bekerja sendiri.

Bukan tidak boleh naikkan harga, jelas Yew Onn, tapi biarlah berpada. Setakat 10 sen dan 20 sen naik boleh diterima lagi. Ini 50 sen, kuantiti dan rasa sama sahaja.

Pesara, Ahmad Tarmizi, 61, pula memberitahu, kerajaan sepatutnya bertanggungjawab terhadap kenaikan semua ini. Kerajaan mempunyai kuasa untuk mengawal harga barangan keperluan asas di pasaran. Agensi penguat kuasa yang berkaitan perlu turun ke akar umbi bagi mengenal pasti punca.

Dia kesal kerana kerajaan tidak kiralah yang lama atau baharu, setiap kali harga barang naik, tiada usaha serius diambil untuk mengatasinya. Semuanya seperti dipandang sambil lewa sahaja, langsung tiada sikap amanah untuk membantu meringankan beban rakyat khususnya yang berpendapatan rendah.

“Bagi pengusaha kantin, memanglah mereka kena naikkan harga. Mereka pun nak cari makan. Kalau bahan mentah mahal, mereka terpaksa naikkan harga kerana semua itu kos yang kena tanggung.

“Tapi tak boleh diam saja, kena buat kajian. Kerajaan kena kawal semua ini. Penguat kuasa jalankanlah tugas dengan betul, buatlah yang terbaik,’ jelasnya.

Sebagai bapa kepada tiga orang anak yang masih belajar, kenaikan harga makanan di kantin memang mengejutkan saya. Beban kos sara hidup pasti jugalah bertambah selepas ini. Namun, apa kuasa yang saya ada, sekadar mencoret berkongsi keluh kesah rakyat marhaen dengan pembaca. Kalau nasib baik, adalah pak-pak menteri baca dan ambil tindakan. Kalau tiada, umpama durian dengan mentimun sahajalah, menggolek rosak, kena golek binasa…

Sumber Artikel: Utusan Online

sumber : Klviral

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.