Rohana Rozhan Letak Jawatan Sebagai CEO Astro

Posted on

Jika semalam CEO Telekom Malaysia (TM), Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly, melepaskan jawatannya,  hari ini, Astro Malaysia Holdings Bhd Group pula mengumumkan peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulannya, Datuk Rohana Rozhan yang akan berkuat kuasa pada 31 Januari 2019, namun beliau akan kekal sebagai Pengarah Bukan Eksekutif dalam Lembaga Pengarah.

Jawatan beliau akan diambil alih oleh Ketua Pegawai Kandungan dan Pelanggan Kumpulan Astro, Henry Tan.

“Datuk Rohana adalah pemimpin yang memberi inspirasi kepada semua di Astro dengan mengetuai kumpulan mencatat pencapaian bermakna dalam industri media di Malaysia.

“Kami akur dan menghormati keputusan beliau untuk melepaskan jawatan CEO Kumpulan dan mengucapkan selamat maju jaya,” kata Pengerusi Astro Tun Zaki Azmi dalam satu kenyataan.

Rohana disifatkan sebagai perancang utama strategi pertumbuhan Astro termasuk membolehkan stesen itu menerajui segmen kandungan di Malaysia serta menyaksikan Astro muncul sebagai syarikat pengguna dengan kedudukannya yang semakin berkembang di ASEAN.

Malah, di bawah pentadbiran beliau, jumlah pelanggan Astro meningkat daripada 2.0 juta kepada 5.5 juta orang manakala perolehan pula berkembang RM1.79 bilion kepada RM5.53 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2018.

Dalam kenyataan itu, Astro juga yakin Tan akan terus memperkasakan serta mengemudi Astro bagi kemajuan masa depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.