0

Rosma Ada Dalam Susah Senang: Khai AF1

Viral is caring!

Masih ingat lagi pada pasangan yang dikenali menerusi program realiti Akademi Fantasia musim pertama (AF1), Khai dan Rosma?

Siapa sangka, pejam celik – pejam celik sudah sembilan tahun Khai, 38, dan Rosma, 32, melayari bahtera perkahwinan.

Hampir sedekad bersama, Khai akui berasa bertuah hidup di samping Rosma kerana wanita itu baik hati dan sanggup mengharungi susah payah bersama.

Pasangan ini berkahwin setelah lima tahun bercinta, yang menjadikan usia perkenalan mereka 14 tahun lamanya dan sepanjang tempoh itu terlalu banyak kisah suka dan duka yang dilalui.

Kehidupan yang ditempuhi pasangan ini tidak semudah disangka apabila sumbangan kewangan bergantung kepada nyanyian semata-mata.

“Luaran, dunia seni nampak cantik tetapi realitinya bukan begitu.

“Awal perkahwinan hidup kami agak susah tetapi Rosma bukan orang yang suka meminta-minta. Dia pakai dan makan saja apa yang ada.

“Sebagai ketua keluarga, saya mahu anak dan isteri hidup selesa jadi saya buat apa saja kerja asal boleh menampung keperluan kami. Rosma sentiasa memberikan sokongan dan kata-kata semangat kepada saya.

“Saya menyediakan kertas kerja untuk dihantar kepada pemilik produk kecantikan dan ada yang melantik kami menjadi duta barangan mereka. Ketika itu, susah dapat tawaran menjayakan persembahan,” katanya memetik Harian Metro.

Mujurlah Khai mewarisi bakat berniaga daripada ibunya lalu apabila berdepan kesempitan hidup, dia tidak kekok menjual apa sahaja. Dalam usahanya mencari rezeki untuk keluarga, Khai pernah menjual bantal jeli.

“Saya tidak pernah berputus asa dan apabila kami dilantik menjadi duta produk kesihatan, terfikir kenapa kami tidak keluarkan produk sendiri. Maka, terhasillah produk pelangsingan badan yang Rosma sendiri menjadi testimoninya.

“Ketika melahirkan anak kedua, dalam masa enam bulan Rosma berjaya mengembalikan berat asalnya iaitu 46 kilogram.

“Alhamdulillah, perniagaan ini semakin berjaya malah kami ada 60 ejen jualan di seluruh negara. Saya bukan main jual sahaja tetapi ada menghadiri banyak kursus dan seminar niaga, katanya

Kini, kehidupan pasangan ini sudah stabil dan Rosma meneruskan kerjaya nyanyian.

“Rosma memang suka menyanyi dan biarlah dia terus aktif dalam bidang ini. Saya pula fokus berniaga. Saya juga sudah mampu membelikan barang kesukaannya termasuk menyediakan modal untuk menerbitkan single terbarunya yang akan dilancarkan selepas Aidilfitri ini,” katanya yang beraya di kampung Rosma di Kuantan, Pahang.

Pasangan ini ditemui di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya baru-baru ini kerana Rosma atau nama sebenarnya Rosmayati Sidik, mengadakan persembahan di cafÈ&PICC sepanjang Ramadan. Ini adalah kali keempat Rosma mendapat tawaran menyanyi di sana.

Mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Muhammad Amzar Danish, 8 dan Nur Amani Damia, 3.

Viral is caring!

Comments

comments

Suaraviral Staff

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *