0

‘Saya Ikhlas Nak Bantu Bukan Menindas’ – Boy Iman

Viral is caring!

Pelakon Boy Iman, 37, mengakui dirinya memegang jawatan Paduka Ayahanda dalam Angkatan Perpaduan Islam yang berpangkalan di Ampang, Selangor seperti yang tular di laman sosial ketika ini.

Pelakon drama VCD Blok 404 dan penerbit filem Blok 404 The Movie ini ketika dihubungi berkata, dia tidak pernah menyalah guna kuasa yang ada padanya dengan menindas orang lain.

“Saya menjadi ahli Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang menggunakan konsep berbaiah ini sejak berusia 23 tahun lagi. Apa yang dilakukan bertujuan mengangkat dan membela agama, bangsa dan negara.

“Tujuan saya lebih kepada membawa kebajikan dan membangunkan ekonomi dalam kalangan umat Islam. Menolong orang bina rumah dengan kos rendah antara matlamat saya,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Boy atau nama sebenarnya Norul Iman Abdul Rahman, dia juga tidak berapa ambil kisah dengan gelaran yang diberikan kerana fokusnya lebih kepada dunia korporat.

“Saya tidak tahu apa tujuan pihak itu menyebarkan berita ini. Seperti dikatakan, saya adalah ahli korporat dan sentiasa mencari peluang untuk memajukan syarikat saya.

“Saya alu-alukan sesiapa yang nak menyemak nama syarikat saya atau nama saya di balai polis sama ada pernah ada laporan berkaitan saya menganiaya orang atau menipu wang orang,” katanya.

Boy berkata, dia bimbang penyebaran berita sedemikian boleh menimbulkan tanggapan buruk masyarakat terhadap NGO lain yang turut terpalit dengan isu itu sedangkan penubuhannya untuk membantu masyarakat.

Selain tuduhan ini, Boy turut tertekan apabila ada pihak yang menggesa Istana Budaya membatalkan pementasan teater terbitannya, Kontena 404 yang akan berlangsung di situ tidak lama lagi.

“Saya tahu ini kerja sebuah organisasi upahan musuh perniagaan saya. Mereka buat surat terbuka yang ditujukan kepada Ketua Pengarah Istana Budaya iaitu Datuk Mohamed Juhari Shaarani.

“Mujur beliau tidak terpengaruh dengan hasutan ini dan bersetuju membenarkan kami meneruskan pementasan di situ,” katanya.

Mengulas mengenai pengambilan wang pembeli yang berminat memiliki rumah yang ditawarkan, Boy menjelaskan isu penipuan itu tidak pernah berlaku.

“Tiada bukti saya lakukan kesalahan. Pergilah buat laporan polis kalau betul saya menipu. Ini adalah fitnah semata-mata.

“Saya buat cara yang betul kerana ikhlas nak cari makan. Ibu saya juga terpengaruh dengan kekecohan yang timbul dan menyuruh saya pulangkan wang, tapi bukan saya yang terbabit dengan isu itu,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Viral is caring!

Comments

comments

Suaraviral Staff

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *