vaksinasi di Kelantan

10,000 tidak hadir vaksinasi di Kelantan sudah ada pengganti

Posted on

Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) telah menggantikan senarai nama hampir 10,000 orang penerima yang tidak hadir pada tarikh janji temu suntikan vaksin Covid-19 di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, kesemua yang tidak hadir itu telah digantikan dengan mereka yang memenuhi kriteria penerima vaksin fasa dua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Katanya, sehubungan dengan itu, tiada pembaziran vaksin kerana ketidakhadiran penerima vaksin di negeri ini dilaporkan.

“Masih ramai rakyat negeri Kelantan yang mengharapkan mereka akan mendapat suntikan vaksin lebih awal tanpa perlu menunggu tarikh yang akan diberikan melalui aplikasi MySejahtera.

“Sehingga semalam, bilangan yang telah mendapat suntikan vaksin fasa dua adalah seramai 35,905 daripada 208,480. Jumlah itu menunjukkan sebanyak 17.2 peratus daripada mereka yang layak dan mendaftar dalam MySejahtera telah menerima dos pertama vaksin Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Akhbar Kosmo! semalam melaporkan, kira-kira 10,000 penduduk di Kelantan tidak hadir untuk menerima suntikan vaksin fasa kedua di 19 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negeri ini.

Berdasarkan data JKNK, kebanyakan daripada individu yang tidak hadir itu terdiri daripada golongan warga emas berusia 60 tahun ke atas selain ramai yang memberi alasan kerana mempunyai masalah peribadi.

Mengulas lanjut, menurut Zaini, berdasarkan data menerusi aplikasi MySejahtera, hanya 29.6 peratus individu yang berusia 18 tahun ke atas dan 34.1 peratus warga emas berusia 60 tahun ke atas di Kelantan yang mendaftar sebagai penerima vaksin.

Katanya, bagi warga emas yang berusia 60 tahun ke atas dianggarkan seramai 66,314 orang daripada anggaran jumlah sebenar iaitu 208,470 individu yang layak menerima vaksin.

“JKNK ingin memaklumkan bahawa penerima vaksin yang tidak hadir akan digantikan dengan penerima daripada kumpulan yang sama bagi mengelakkan pembaziran vaksin.

“Sila patuhi tarikh dan masa janji temu. Jika tidak dapat hadir atas sebab yang tidak dapat dielakkan, maklumkan kepada PPV untuk penjadualan semula janji temu,” katanya.

sumber: Kosmo Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.