40 tahun ukir tulisan Jawi pada batu nisan, lelaki Cina ini disenangi masyarakat Muslim

Posted on

“JIKA dulu ramai boleh menulis Jawi, tapi orang sekarang sudah ramai tidak tahu. Sayang jika tulisan Jawi makin pupus.”

Tersentak seketika mendengar kenyataan itu, apatah lagi kenyataan itu diluahkan oleh seorang lelaki tua berketurunan Cina yang juga pengukir batu nisan.

Kata-kata pengukir batu nisan itu, pelik dan agak mendalam namun itu adalah hakikatnya. Kuah Leong Chuan, berusia 60-an, adalah seorang pengukir batu nisan yang sudah berpuluh tahun menjadikan batu nisan sebagai sumber pencariannya.

Tidak sekadar memahat batu nisan dari seketul batu granit bulat, beliau juga mahir mengukir tulisan Jawi – kemahiran yang hanya dipelajarinya daripada pelanggan.

“Moyang saya juga pembuat batu nisan. Ini perniagaan diwarisi turun temurun. Tulis Jawi, itu bukan masalah. Pada awal dulu, saya sendiri tidak kenal huruf Jawi.

“Tapi kerana mahu cari makan, kita kena belajar. Kami minta pelanggan tulis atas kertas, lepas itu kami tiru perlahan-lahan. Lama-lama boleh, kadang kala orang Melayu sendiri suruh kami periksa tulisan Jawi mereka betul atau tidak,” katanya.

Di sekitar Kuala Selangor, sebut saja apek batu nisan, pasti ramai akan mengenali keluarga Kuah, kerana mereka bukan saja menjadi pembuat batu nisan paling lama bertahan di Kuala Selangor malah kini menjadi antara satu-satunya pembuat batu nisan berketurunan Cina di Selangor dan mungkin juga di Malaysia.

Ketika ditanya bagaimana keluarga boleh terbabit dalam pembuatan batu nisan, Kuah menyatakan moyangnya dulu berasal dari China, datang ke Tanah Melayu dan mempunyai kemahiran dalam mengukir batu.

“Kami ukir tempat sembahyang Cina dulu, lepas itu baru bermula buat batu nisan sebab sini ramai orang Melayu. Selepas itu bermulalah warisan keluarga kami sebagai pembuat batu nisan.

“Dulu kawasan Kuala Selangor ada juga dua tiga keluarga Cina turut terbabit mengukir batu nisan. Tapi akhirnya hanya tinggal saya bersama abang saya saja dan sekarang saya seorang saja kerana abang sudah tidak sihat,” katanya.

Pengukir batu nisan seperti Kuah sebenarnya mementingkan soal kemahiran dan kegigihan. Kedua-dua aspek itu sama penting sebelum mereka layak mengukir dan menyiapkan batu nisan yang ditempah pelanggan.

“Soal mahir dan gigih sangat penting sebab membuat batu nisan bukan mudah. Ia membabitkan batu granit dan untuk memecahkan batu granit bukan perkara mudah. Di kuari, orang guna dinamit, tapi bagi saya ia mesti dilakukan menggunakan tangan.

“Walau sebesar mana pun batu yang akan dipecahkan, saya akan lakukan sendiri sebab itu saya kata penting kita memiliki kegigihan dan kemahiran,” katanya.

Kuah sangat mementingkan kualiti batu yang diukirnya dan katanya walaupun kini ramai lebih gemar menggunakan batu nisan acuan, baginya walaupun cantik, ia tidak mampu bertahan lama.

Jika menggunakan batu granit, dia sendiri akan memecahkannya menjadi bentuk batu nisan sebelum diukir bahagian atas batu nisan agar menjadi cantik tetapi membiarkan bawah batu nisan berkeadaan seperti batu asal (tanpa dilicinkan).

“Ramai tanya kenapa tak cantikkan bahagian bawah sekali. Saya cakap ini bahagian bawah ‘kasi’ cucuk dalam tanah sebab itu dia perlu nampak seperti batu asal. Rahsianya adalah bila berkeadaan sedemikian, ia mampu berdiri tegak sehingga puluhan tahun kerana bahagian bawahnya mengikut alunan tanah.

“Cuba bandingkan dengan batu nisan acuan, pasang tidak sampai enam bulan sudah senget. Sebab semua licin dari atas sampai bawah. Ia pun tidak boleh bertahan lama. Batu granit boleh bertahan hingga ratusan tahun.

“Satu lagi bahagian ukiran nama si mati. Jika ‘trend’ sekarang adalah cetak dan tampal. Tapi saya masih mengukir nama si mati dan tarikh kematiannya. Mula-mula saya tulis guna dakwat sebelum memahat nama itu,” katanya.

Kuah menyatakan bukan senang untuk memahat dan mengukir batu. Ia memerlukan tenaga dan dalam usianya kini sudah tidak banyak yang boleh dilakukan olehnya.

Kerancakan Kuah bercerita semakin perlahan apabila menyatakan industri ini akan berkubur kerana ketiadaan pewaris untuk meneruskan legasi apek pengukir batu nisan.

“Saya dan abang saya pewaris terakhir. Anak-anak tidak mahu teruskan warisan ini kerana tiada siapa mahu kerja berat ketuk batu. Lagipun pekerjaan ini tidak boleh menjadi kaya, siapa mahu teruskan,” katanya.

Mungkin selepas ini tiada lagi keistimewaan apek pengukir batu nisan. Legasinya akan terus tinggal sejarah kerana tiada pewaris selain ketiadaan minat daripada generasi muda meneruskan atau menuntut ilmu mengukir batu nisan ini.

“Saya tak pilih orang. Siapa saja boleh belajar asal ada minat. Saya bimbang kalau tidak ada pelapis. Ini industri yang diperlukan orang sehingga zaman akhir nanti,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.