9 Sebab Ada Orang Selalu Rasa Panas Padahal Orang Lain Macam Biasa Je | “Apasal aku sorang je yang berpeluh-peluh ni. Kuatkanlah sikit kipas tu. Korang tak panas ke?”
Dekat dalam pejabat, dekat rumah, atau dalam kereta ada salah seorang daripada ramai-ramai tu yang macam ni kan? Kalau buka kipas tu, macam nak ribut. Air cond pulak mesti nak yang maksimum sekali sejuknya. Nasib je tak ada function beku.
Pelik juga kan, sampai kita yang duduk sebelah pun boleh menggigil dengan tempias sejuk dia tu. Nak kata asal dari kutub, tak jugak.
Kandungan
- 1 Selalu Rasa Panas
- 2 9 SEBAB ADA ORANG SELALU RASA PANAS PADAHAL ORANG LAIN MACAM BIASA JE
- 3 1. TERLEBIH MINUM KOPI
- 4 2. DILANDA STRES / KERAP RISAU
- 5 3. ANDA MENGANDUNG
- 6 4. HIPERTIROIDISM
- 7 5. SUKA MAKAN PEDAS
- 8 6. SIMPTOM MENOPAUS
- 9 7. PMS
- 10 8. DIABETES
- 11 9. PENGAMBILAN UBAT-UBATAN TERTENTU
- 12 BILA PERLU BERJUMPA DOKTOR?
- 13 Doa Ketika Cuaca Panas Melampau
Selalu Rasa Panas
Sebenarnya kalau seseorang tu mudah rasa panas, ia boleh berkait dengan beberapa faktor fizikal atau kesihatan.
Menurut Nilem Patel, M.D., pakar endokrinologi (berkaitan hormon) menerusi Woman’s Day, berikut adalah antara sebab kenapa badan selalu rasa panas.
9 SEBAB ADA ORANG SELALU RASA PANAS PADAHAL ORANG LAIN MACAM BIASA JE
1. TERLEBIH MINUM KOPI
Memang syok kalau dapat menikmati kopi di pagi hari kan? Inilah antara rutin yang kita biasa buat sebelum memulakan sebarang kerja di awal pagi. Ada orang memang tak ada mood nak buat apa-apa selagi belum ‘pekena’ kopi.
Tapi rupanya minum kopi yang berlebihan boleh menjadi punca badan terasa hangat berbanding biasa. Ini kerana, kafein merupakan sejenis bahan stimulan yang boleh meningkatkan kadar degupan jantung dan tekanan darah.
Maka, meminum kopi berlebihan secara tak langsung akan meningkatkan suhu badan kita. Jadi, ambillah dengan bersederhana saja ok!
2. DILANDA STRES / KERAP RISAU
Pernah tak rasa berdebar-debar masa nak naik pentas? Masa ni peluh bukan main laju lagi kan?
Ini antara simptom anxiety yang membuatkan seseorang mengalami degupan jantung yang pantas, suhu badan yang meningkat, muka / pipi jadi merah, dan perpeluhan yang banyak.
Semua ini merupakan reaksi fizikal terhadap stres, panik atau kerisauan yang melampau.
Jadi kalau anda selalu stres, mungkin inilah penyebab kenapa badan kita asyik berasa panas berbanding orang lain.
3. ANDA MENGANDUNG
Ramai ibu mengandung bukan suka-suka complaint panas. Sebenarnya perubahan hormon yang berlaku secara drastik boleh menyebabkan wanita hamil sering berasa panas.
Bukan semasa kehamilan saja. Bahkan, kajian juga mendapati rasa panas ini boleh berlarutan hingga beberapa tempoh selepas bersalin.
4. HIPERTIROIDISM
Kelenjar tiroid yang terlebih aktif atau hipertiroidism boleh menjadi salah satu punca utama heat intolerance ini.
Kebanyakan yang mengalami kondisi ini akan turut memperlihatkan tanda lain seperti hilang berat badan walaupun makin berselera, perubahan pada kitaran haid, serta rasa berdebar yang membuat jantung berdegup laju.
Jika anda mengalami semua simptom ini, sila dapatkan nasihat daripada doktor untuk rawatan lanjut ya.
5. SUKA MAKAN PEDAS
Orang Malaysia memang suka makan pedas kan?
Menurut HealthLine.com, selain kopi, makanan pedas pun boleh meningkatkan suhu badan kita tau.
Sebabnya, makanan pedas mengandungi sejenis kompaun iaitu capsaicin, bahan kimia yang akan membuat suhu badan naik, di samping membuatkan seseorang mengeluarkan air mata dan peluh.
6. SIMPTOM MENOPAUS
Rasa panas atau hot flashes merupakan simptom yang paling kerap berlaku pada wanita yang hampir menopaus. Ia selalunya paling dirasai sekitar tahun terakhir haid dan setahun selepas haid berhenti. Namun, pemerhatian mendapati ia juga boleh berterusan hingga 14 tahun lamanya!
Waktu transisi ini melibatkan perubahan hormon yang boleh menyebabkan:
- rasa panas yang kuat, terutamanya pada bahagian atas tubuh
- muka dan leher menjadi merah
- berpeluh dengan banyak
- diikuti dengan rasa sejuk selepas rasa panas tadi
7. PMS
Selalu orang kaitkan PMS ni bila tengok perempuan asyik marah-marah je. Rupanya, PMS atau pre-menstrual syndrome ni ada kaitan dengan suhu badan juga.
Dalam tempoh beberapa hari sebelum haid, tahap hormon wanita berada pada paras yang paling rendah. Keadaan ini akan membawa kepada simptom seperti kekejangan, rasa kembung, anxiety, dan juga rasa panas atau hot flashes tadi.
8. DIABETES
Pesakit diabetes lebih sensitif terhadap rasa panas, terutamanya mereka yang sukar mengawal kadar glukosa dan mengalami komplikasi seperti kerosakan saraf.
Selain itu, pesakit diabetes juga mudah mengalami dehidrasi hingga menyebabkan kenaikan kadar gula dalam darah.
Antara simptom diabetes yang berkaitan adalah:
- kerap berasa haus
- kerap kencing
- cepat letih
- pening
- luka lambat sembuh
- penglihatan kabur
9. PENGAMBILAN UBAT-UBATAN TERTENTU
Ubat sakit perut, antidepressant, antibiotik, dan sesetengah antihistamine (ubat alergik) adalah antara jenis ubat-ubatan yang berpotensi mengubah cara tubuh anda meregulasikan haba.
Kalau badan asyik terasa panas, cubalah periksa sama ada anda ada mengambil sebarang ubat-ubatan tertentu dan tanyakan doktor tentang masalah ini.
BILA PERLU BERJUMPA DOKTOR?
Biasanya rasa panas ni bukanlah sesuatu yang serius kalau anda memang selalu rasa panas sejak dulu lagi.
Tapi kalau perubahan ini baru berlaku dan turut diikuti dengan simptom membimbangkan seperti rasa pening, kehilangan berat badan, sakit dada, jantung berdebar, peluh yang luar biasa dan apa-apa yang kurang selesa, maka berjumpalah doktor untuk membuat pemeriksaan lanjut.