Bagi menyelamatkan syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines Bhd (MAS), bekas perdana menteri Najib Razak mencadangkan agar kerajaan mengguna semula pelan baik pulih yang pernah digunakan ketika zamannya.
“ Kita ada pelan baik pulih, guna balik pelan itu. Semasa saya memerintah, kita yakin kita akan dapat membuat baik pulih,” katanya.
Jelasnya, cadangan beberapa pihak agar MAS ditutup atau dijual adalah merupakan langkah yang silap.
“ MAS itu kebanggaan kita. Ia mesti terus menjadi syarikat penerbangan nasional.
“ Ada pelan baik pulih semasa saya menjadi pengerusi Khazanah, dan pelan kita berfungsi, (cuma) ia perlukan sedikit sahaja masa lagi.
“ Tak ada sebab MAS dijual atau ditutup. Itu langkah salah, dan rakyat tak akan menyokongnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas tamat sesi Dewan Rakyat di parlimen hari ini.
Beliau mengulas pandangan penganalisis penerbangan yang mencadangkan MAS ditutup susulan kerugian yang dihadapi syarikat penerbangan itu.
MAS mengalami kerugian sejak diswastakan pada tahun 2014.
Apabila disoal tentang dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau melindungi masalah kewangan yang dihadapi Khazanah semasa zamannya, Najib menafikan hal tersebut.
“ Tidak tidak. Macam yang dikatakan anggota parlimen Bera (Ismail Sabri Yaakob) cakap tadi, setiap tahun semasa pemerintahan BN kita untung sampai tiga ke empat bilion.
“ Kenapa dalam masa sepuluh bulan dah rugi RM6.3 bilion?” soalnya lagi.
Selain itu, Najib turut mempersoalkan tentang susut nilai aset yang dihadapi MAS sebanyak RM25 bilion.
“ Kenapa IHH (IHH Healthcare Berhad) dijual kepada Mitsui? Ini satu kehilangan besar pada negara.
“ Itu penyedian perkhidmatan kesihatan kedua terbesar di dunia dan boleh jadi badan yang membuka jalan (peluang) pekerjaan kepada rakyat Malaysia, terutamanya di persada antarabangsa,” katanya lagi.
Lihat video di bawah
Tutup MAS? Kerajaan teliti sebarang kemungkinan
Terdahulu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad terbuka terhadap sebarang kemungkinan untuk menangani kerugian yang ditanggung Malaysia Airlines Bhd (MAS).
“ Untuk menutup syarikat penerbangan nasional, ia satu hal serius.
“ Kamu ingat tak, dulu pun ada kajian tentang ini, sama ada kita patut tutup, jual atau buat penstrukturan semula kewangan.
“ Kerajaan terbuka untuk mempertimbangkan semua kemungkinan ini. Kita perlu putuskan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di parlimen.
Beliau diminta mengulas pendapat penganalisis bahawa MAS patut ditutup susulan kerugian dihadapinya.
MAS mengalami kerugian sejak diswastakan pada tahun 2014.
Dr M hadir mesyuarat pengarah MAS
Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali, memaklumkan satu mesyuarat lembaga pengarah telah diadakan melibatkan pengurusan Khazanah dan MAS yang turut dihadiri oleh Dr Mahathir.
“ Tun telah memberikan pandangannya tentang bagaimana kita patut menguruskan situasi tersebut.
“ Saya rasa mereka melihat perkara ini dengan serius. dan akan menemui jalan penyelesaian,” katanya kepada pemberita di parlimen hari ini.
Tambahnya, ada langkah telah diambil bagi menjana keuntungan seperti mendapatkan perkhidmatan carter untuk urusan umrah dan haji.
“ Salah satunya, mereka baru mendapat carter perkhidmatan baru dari Kuala Lumpur ke Madinah di bawah Projek Salam untuk membawa umat Islam dari Malaysia dan dari kawasan rantau ini untuk mengerjakan haji dan umrah.
“ Harapnya juga, kita dapat meneroka pasaran baru dari Indonesia dan Thailand,” katanya lagi.
Untuk rekod, MAS mempunyai enam pesawat A380 yang tersadai di lapangan sejak beberapa tahun lalu.
Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih.
Sumber : malaysiakini