DEWAN RAKYAT : Ahli Parlimen PH gesa Kerajaan PH Isytihar Darurat di Pasir Gudang

Posted on

DEWAN RAKYAT : Ahli Parlimen Pasir Gudang daripada Pakatan Harapan, Hassan Karim menggesa kerajaan mengisytiharkan darurat di kawasan Parlimennya, susulan pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim sejak minggu lalu.

“Sebagai ahli Parlimen, saya menggesa kerajaan persekutuan mengisytiharkan darurat di Pasir Gudang hari ini (14 Mac 2019).

“Menteri, tolong bantu saya. Saya sudah hantar surat kepada Pejabat Speaker Dewan Rakyat untuk satu usul tergempar dibentang dan dibahaskan hari ini, tetapi saya diberitahu ia hanya boleh dilakukan Isnin depan.

“Saya meminta anda mengetepikan semua isu teknikal. Saya minta usul mengisytiharkan darurat ini dibincang dan dibahaskan hari ini,” katanya pada waktu pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini (14 Mac 2018).

Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof kemudiannya memutuskan usul tergempar itu akan dibahaskan 4.30 petang ini.

Ahmad Maslan (BN-Pontian) sebelum ini mencadangkan kerajaan mengisytiharkan darurat bencana toksik di sekitar Sungai Kim Kim.

Katanya, bekas perdana menteri, Najib Razak pernah mengisytiharkan darurat bencana jerebu di daerah Ledang dan Muar, Johor pada 23 Jun 2013 selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 500, iaitu tahap kecemasan.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, beliau akan menyerahkan pandangan ahli Parlimen kepada jawatankuasa berkaitan kerana beliau tidak boleh membuat keputusan secara bersendirian.

Menjawab soalan tambahan dikemukakan Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian), Yeo (PH-Bakri) berkata, mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, buangan terjadual perlu dilupuskan di lokasi berlesen dan masalah terletak pada penguatkuasaan.

“Saya juga mahu memberitahu Dewan yang kami tidak lari daripada tanggungjawab. Kami mengambil serius isu ini. Saya pulang dari Pasir Gudang pagi ini untuk menjawab soalan ini di Parlimen.

“Saya harap anda boleh menjadi YB yang bertanggungjawab. Untuk menangani krisis ini, tolong jangan bermain politik dan jangan tuding jari.”

Sehingga kini, semua 111 sekolah di daerah Pasir Gudang ditutup dan lebih 200 orang dirawat kerana terhidu gas bahan kimia itu.

Penyiasat dari Jabatan Alam Sekitar mengenal pasti sisa bahan kimia yang dibuang ke Sungai Kim Kim mengeluarkan gas metana dan benzena mudah terbakar.

Beberapa suspek ditahan sejak 7 Mac lalu, termasuk seorang pemilik syarikat tayar kitar semula, seorang pemilik kilang memproses bahan kimia, seorang lagi pemilik kilang memproses bahan lusuh dan pekerjanya yang berusia 50-an di Pasir Gudang

(VIDEO) PENCEMARAN TOKSIN : AHLI PARLIMEN PH PASIR GUDANG GESA KERAJAAN ISYTIHAR DARURAT DI PASIR GUDANG

Sumber Artikel: freemalaysiatoday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.