CINTA RUMAHTANGGA : Kisah Isteri Yang Menutup Kemiskinan Suaminya

Posted on

Tiada rumah tangga yang bebas daripada ujian. Namun setiap ujian pasti ada jalan penyelesaiannya. Rumah tangga bahagia adalah yang mampu menghadapi ujian bersama-sama tetapi masih berpegang teguh pada syariat-Nya.Kita perlu belajar bahawa ujian dalam rumah tangga akan datang dari segala arah, bersedialah menghadapinya.

Sememangnya hidup ini akan sentiasa diuji dan diduga. Tak kira sama ada hidup bersendiri ataupun hidup berumah tangga. Hidup berumahtangga ujiannya lebih mencabar kerana kita perlu memikirkan orang lain berbanding jika kita hidup bersendirian. Orang lain yang asalnya adalah terlalu asing tetapi telah kita terima menjadi sebahagian daripada hidup kita. Orang lain yang asalnya langsung tidak kita kenali tetapi kita sayang dan cinta dengan sepenuh hati.

Namun, walau cinta menggunung tetapi percayalah, kita takkan mungkin akan mengenali pasangan kita sepenuhnya. Kita takkan mungkin akan memahami dan mengerti pendirian dan kehendak pasangan kita seratus peratus. Jangan fikir, andai kita telah bercinta 10 tahun bererti kita telah cukup mengenali pasangan kita

KEJUJURAN SESAMA PASANG

Nilai ini sangat penting dan mustahak antara pasangan. Jika hilang nilai ini antara suami isteri, maka tunggulah saat retak menanti belah. Hal ini kerana cinta itu terhasil daripada bibit-bibit keikhlasan dan kasih sayang yang sejati antara dua belah pihak.

Jangan sesekali membohongi antara satu sama lain. Jangan juga sering mendedahkan keaiban antara satu sama lain kepada pihak ketiga sama ada keluarga, kawan-kawan ataupun siapa sahaja.

Namun begitu, jangan terkejut kerana ada juga pembohongan yang dibenarkan. Memang ada. Tapi pembohongan yang bagaimana ? Cuba baca kisah uang diceritakan Ustaz ini. Pembohongan ini sebenarnya pembohongan yang digalakkan dan menggambarkan rasa cinta kasih sayang yang tinggi antara suami isteri.

PEMBOHONGAN YANG DIBENARKAN DALAM RUMAHTANGGA

Antara contoh kisah kes “pembohongan” yg tidak tercela (dimaafkan syarak)-

Ada sebuah kisah, ada seorang suami yang menangis sedikit teresak di sisi sahabatnya.

Lalu sahabatnya bertanya “Kenapa kau menangis ?”

Suami itu menjawab “Isteri aku sedang demam”.

Sahabatnya bertanya lagi “Seberapa hebat sayangnya engkau kepadanya ? Hingga dia demam sahajapun engkau sudah menangis seperti ini”.

Suami itu menjawab lagi “Kau tak kenal isteri aku itu bagaimana..”

Dia pun mula menceritakan,

“Aku ini miskin. Aku ni tak ada kerja tetap. Setiap hari keluarga aku hanya makan kacang, itupun jika aku dapat balik awal”

“Pernah ketika aku tak dapat balik rumah, isteri aku hanya ada 2 pilihan sahaja sama ada dia akan berpuasa atau minum air putih sepanjang hari..”

“Satu hari, aku sekeluarga dijemput oleh mertua aku ke rumahnya, memang isteri aku dari kalangan keluarga yang agak berada..”

Sekadar Gambar Hiasan

“Masa aku sedang duduk-duduk berbual bersama mertua dengan hidangan yang lazat dan enak, mata aku tak nampak di mana isteri aku berada lalu aku bertanya kepada mertuaku sama ada dia nampak isteri aku ada di mana..”

Ibu mertua aku menjawab,

“Isteri kamu ada di dapur, dia mencari kacang. Katanya dia sudah agak jemu dengan lauk daging, ayam dan semacamnya sehingga dia teringin cuma nak makan kacang”

Ayah mertuaku yang mendengar terus mencelah,

“Terima kasih banyak-banyak kerana jaga anak kami. Secukupnya diberi nafkah dan seeloknya dijaga sampai ayam dan daging pun dia terasa jemu”.

“Saat itu dadaku terasa sesak sekali. Aku seupayanya menahan agar tidak menangis. Sekalipun hati aku sebenarnya tidak dapat menahan tangisan”.

“Lalu saat sudah balik ke rumah, setibanya di rumah aku terus memeluk erat isteriku sambil menangis teresak-esak”.

“Wahai isteriku. Sebegitu sekali kau menjaga keaiban dan kekurangan suamimu hatta di pandangan ayah ibumu sendiri. Sedangkan ku tahu terlalu banyak kekurangan yang ada padaku sehingga dirimu selalu hampir tak makan seharian”.

Isteri aku menjawab,

“Ku harus menjalankan tanggungjawabku. Tanggungjawabku adalah menjaga sepenuhnya kehormatanmu wahai suami. Soal tanggungjawabmu kepadaku, aku sentiasa berdoa agar Allah lah yang akan mempermudahkan untukmu melaksanakannya. Kerana aku menjadi isterimu, kerana-Nya”.

(Kredit: Ustaz Uthman Daud)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.