“Itu Sayalah, Bukan Patung”- ‘Barbie’ Buat Hal Lagi, Ramai Ingat Dirinya Patung Kek

Posted on

JIKA sebelum ini usahawan kosmetik muda Izuebiela pernah tular kerana berkunjung ke Pasar Awam Taman Tun Dr Ismail dengan penampilan seperti patung Barbie namun kali ini lain pula ceritanya!

Sejak Sabtu lalu, Izuebiela kembali menjadi bualan netizen di laman Instagram dan Facebook apabila gambar terbaharunya yang mengenakan ‘ball gown skirt’ disangka sebagai patung untuk perhiasan kek.

Bergaya dalam persalinan gaun hijau zamrud, ramai melahirkan rasa kagum dengan gambar tersebut yang persis patung Barbie lengkap berambut ‘blonde’ sehingga percaya ia adalah patung perhiasan yang kebiasaannya diletakkan di atas kek.

Menjelaskan mengenai perkara itu kepada mStar Online, Izuebiela berkata gambar yang dimuat naik di Instagram miliknya itu bukanlah patung seperti disangka tetapi ia adalah dirinya ketika menjalani penggambaran untuk sebuah akhbar baru-baru ini.

Izubiela menerima mesej peribadi daripada pengikutnya selepas gambarnya tular.

Lebih melucukan, dia turut menerima pelbagai mesej peribadi (DM) daripada pengikutnya yang mahu membuat tempahan patung tersebut untuk majlis hari jadi termasuk perkahwinan.

“Itu sayalah bukan patung! Tapi memang ramai menyangka ia adalah patung perhiasan kek sampai ada yang DM saya untuk buat tempahan.

“Lucu juga apabila orang kata patung tetapi saya sendiri pun tak sangka tindakan saya muat naik gambar itu sampai jadi tular di Facebook dan Twitter,” ujarnya yang mengusahkan produk kecantikan Putih Gebu Dbella dan Susuk 1 Juta Skincare.

Dalam pada itu, Izuebiela tidak menafikan penularan gambar itu memberi impak kepada perniagaan diusahakannya sebagai salah satu bentuk promosi produk dan dirinya kepada umum.

Antara komen ditinggalkan netizen.

Malah katanya, walaupun tidak pernah melabel dirinya sebagai figura Barbie namun penerimaan masyarakat terhadap imej tersebut membuatkan dia mengambil keputusan untuk mengekalkan personaliti itu.

“Saya sebenarnya tak minat pun dengan Barbie malah tiada koleksi patung popular itu tetapi apabila orang ramai mula mengaitkan saya dengan figura itu saya OK sahaja.

“Malah ia sudah jadi sebahagian daripada diri saya kerana ke mana sahaja saya pergi orang akan panggil saya Barbie.

“Jadi saya rasa tidak salah untuk saya kekalkan imej dan personaliti itu dalam memperkenalkan diri dan produk saya kepada pelanggan,” katanya.

Izubiela akan kekalkan imej sebagai Barbie.

Pun begitu kata Izuebiela, dia mengakui kos untuk mengekalkan imej Barbie bukan semurah yang disangka kerana ia memerlukan penelitian dari semua segi termasuk penjagaan rambut, wajah, solekan termasuk pakaian.

Namun katanya, dia tidak lokek dalam berbelanja bagi mengekalkan imejnya itu kerana sebagai wanita dia memang gemar berfesyen selain sentiasa tampil cantik apabila di khalayak.

“Kos memang tinggi sebab nak jaga rambut, solekan terutamanya baju yang perlu saya tempah kerana seperti patung Barbie fesyen yang digayakan sentiasa luar biasa dan lain daripada lain.

“Tetapi tidak mengapa kerana ia turut memberi kepuasan peribadi kepada saya kerana sebagai wanita saya memang suka benda yang cantik,” katanya.

Tular sebelum ini : ‘Barbie’ masuk pasar punya hal, tiba-tiba atuk nak bergambar…yang langgar rak jualan pun ada

KEBIASAANNYA kalau ke pasar, ramai di antara kita terutamanya golongan wanita tidak ambil peduli tentang imej dan penampilan, malahan akan lebih selesa dengan hanya memakai pakaian harian di rumah.

Namun penularan video seorang wanita yang berkunjung ke Pasar Awam Taman Tun Dr Ismail di laman sosial sejak Rabu lain pula ceritanya.

Menerusi video tersebut, rata-rata terkejut dengan kemunculan wanita persis patung Barbie yang putih gebu sehingga ada yang terlanggar rak besi jualan di pasar tersebut akibat terpesona melihatnya wanita berambut perang itu.

Ada peniaga dan pengunjung pasar pelbagai usia yang mengambil gambar bersamanya namun tidak kurang yang menegur pemilihan fesyennya ke pasar.

“Wow! Macam nak pergi pertunjukan fesyen. Kenapa kamu berpakaian seperti ini?,” tegur seorang pelanggan pasar itu.

Peniaga pasar turut mengambil peluang bergambar dengan Barbie.

Mana tidaknya, bukan sahaja wajahnya persis patung Barbie, penampilannya yang berbaju labuci rona hitam yang dipadankan dengan skirt tutu merah jambu membuatkan pengunjung menoleh dua kali.

Selepas diteliti didapati, skirt tutu yang digayakannya adalah salah satu koleksi daripada pereka fesyen Ezuwan Ismail yang dipentaskan ketika Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2018 (FWKL2018) sekitar Ogos lalu.

Rata-rata netizen yang melihat aksi wanita itu yang juga usahawan produk kecantikan turut memuji tindakan beraninya, selain tidak menyangka Malaysia juga mempunyai patung Barbie.

Tidak kurang juga menyindir tindakannya itu yang seolah-olah cuba menarik perhatian masyarakat.

Wajah Izubiela dan penampilannya seperti patung Barbie.

“Weh, siapa perempuan ini? Ada Barbie jatuh dari langit ke? Kemain dress up, haha. Part akhir tu, kelakar. Kena tegur dengan makcik,” tulis seorang pengguna Twitter.

Wanita itu, Izubiela Rasi atau Bella, ketika dihubungi berkata, dia tidak menyangka kehadirannya di pasar tersebut akan menjadi perhatian.

Malah beritahu wanita berusia 29 tahun ini, dia sebenarnya sudah lama tidak menjejakkan kaki ke pasar tersebut walaupun rumahnya berdekatan dengan Taman Tun Dr Ismail.

“Sudah bertahun tak masuk pasar dan tak pernah sekalipun berkunjung ke Pasar Besar Awam TTDI, walhal rumah saya tidaklah begitu jauh dari tempat ini.

Skirt tutu berwarna merah jambu dengan blaus labuci hitam pilihan Bella ke pasar.

“Jadi kebetulan hari itu saya teringin hendak singgah kerana selalunya saya beli barang runcit di pasar raya… Tak sangka pula jadi perhatian,” katanya.

Jelas Bella lagi, dia berpakaian sedemikian kerana mempunyai urusan lain selepas itu selain ingin melihat reaksi masyarakat terhadapnya yang berpakaian glamor ke pasar.

“Ternyata ramai yang seakan pelik dan tak kurang juga minta untuk bergambar,” katanya.

Sementara itu, Bella berkata, dia memang seorang penggemar fesyen dan tidak pernah keluar rumah tanpa mengenakan sebarang solekan atau berpakaian cantik.

Sumber : mStar via EdisiMedia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.