Dalam prosiding bela diri di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini, pelakon Sofi Jikan mengakui terkejut apabila ujian air kencingnya didapati positif dadah tahun lalu.
Menurut Sofi, ketika itu dia berada di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya selepas dia diminta melakukan ujian air kencing bagi membantu siasatan kes penahanan pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil.
Menjawab soalan peguam Datuk Haniff Hassan dihadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir, Sofi memberitahu satu botol urin diserahkan kepadanya dan diiringi seorang polis ke tandas bagi melakukan ujian berkenaan.
“Selepas selesai, saya menyerahkan semula botol itu kira-kira pukul 10 lebih malam dan menunggu keputusan ujian air kencing. Saya terkejut, tak pasti ada mengambil bahan terlarang atau tidak,” katanya.
Menurutnya lagi, dia kerap menerima hadiah seperti rokok dan sebagainya di setiap majlis yang dihadirinya. Jelasnya lagi, dua atau tiga hari sebelum ditahan polis, dia ada menghadiri majlis makan malam bersama peminat.
“Sebagai seorang perokok, saya selalu menerima hadiah seperti rokok dan sebagainya di setiap majlis dihadiri,” katanya.
Dalam itu, Sofi tidak dapat memberi kepastian apabila ditanya mengenai dirinya ada mengambil dadah jenis kanabis (ganja) pada hari jamuan tersebut.
Pada 13 Februari 2018, Sofi didakwa menggunakan dadah jenis 11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol9-carboxylic acid atau THC di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada 6 Februari 2018. Mahkamah menetapkan 31 Julai sebagai keputusan akhir pembelaan.