Beberapa minggu lalu, nama bekas Ratu Cantik Rusia, Rihana Oksana Petra menjadi perhatian ramai apabila peguam Sultan Kelantan mengesahkan sudah menghantar surat cerai talak tiga kepada pihak peguam Rihana.
Menerusi entri terbaru di Intagram, Rihana meluahkan minggu lalu merupakan minggu yang menyedihkan. Malah anak lelakinya, Tengku Ismail Leon Petra jatuh sakit.
“Minggu lalu antara minggu yang sungguh menyedihkan dan memberi tekanan kepada saya. Buat pertama kali, anak saya Leon jatuh sakit. Leon mengalami otitis atau radang dalam telinga kerana saya tidak menyelimutkannya dengan selimut tebal selepas mandi.
“Cuaca pada waktu itu sungguh sejuk iaitu 6 darjah celcius lebih-lebih lagi kami tinggal di luar bandar Moscow,” katanya.
Dalam pada itu, Rihana turut rasa bersalah terhadap anaknya kerana terpaksa memberikan antibiotik dos yang tinggi kepada Leon. Rihana turut berterima kasih di atas sokongan netizen yang mendoakan kesihatan yang baik buat Leon.
“Walaupun perkara itu sudah berlalu namun saya rasa sangat bersalah terhadap Leon. Saya terpaksa memberikannya antibiotik dengan dos yang kuat walaupun usianya baru sepuluh minggu kerana masalah telinga yang dihadapinya boleh menyebabkannya hilang daya pendengaran.
“Leon juga mengalami masalah tidur dan hilang selera makan. Bagi setiap ibu bapa, perkara paling ngeri yang dihadapi adalah apabila insan tersayang jatuh sakit,” tulisnya.
Terdahulu, Rihana Oksanamencabar baginda melakukan ujian DNA terhadap bayi berkenaan apabila peguam Koh Tien Hua mempersoalkan bukti mengatakan Sultan Muhammad V adalah bapa kandung kepada bayi tersebut.