Gambar di kompleks Mahkamah Syariah Wilayah yang dimuat naik di Insta Story akhirnya terjawab apabila Noor Nabila mengesahkan dia sudah memfailkan perceraian terhadap suaminya, Sharnaaz Ahmad.
Memetik laporan BH Online, Nabila yang enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu bagaimanapun memberitahu dia berharap agar diberi ruang dan apa yang paling penting adalah masa depan anak mereka, Jebat Jayden.
“Seperti khabar angin yang bertebaran, saya mengesahkan sudah memfailkan perceraian terhadap suami saya, Sharnaaz Ahmad.
“Buat masa ini, saya serahkan segala-galanya kepada mahkamah. Saya berharap, saya dan keluarga diberi ruang untuk melalui proses ini dengan sabar dan tenang. Doakan kesejahteraan saya dan anak saya,” katanya kepada BH Online.
Sharnaaz dan Nabila telah mendirikan rumah tangga pada Mac 2017. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Jebat Ayden pada Ogos 2018.