Hari ini industri hiburan tanah air dikejutkan dengan berita penyayi Adira Suhaimi menfailkan permohonan cerai terhadap suaminya Datuk Seri Adnan Abu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Rawang.
Difahamkan, Adira menfailkan permohonan perceraian itu pada 1 April lalu. Adira yang disoal Hakim Syarie Mohd Faizal Habib mengenai pendiriannya menegaskan, dia tetap mahu teruskan perceraian.
BACA: “Saya Akan Tetap Teruskan Penceraian Ini”
Bagaimanapun, Adnan atau lebih dikenali dengan panggilan Dato Red membantah permohonan isterinya itu. Hakim Mohd Faizal Habib menetapkan 17 Disember ini sebagai tarikh sebutan hakam kes perceraian itu.
Mengulas lanjut mengenai perceraian yang difailkan isterinya, Dato Red menegaskan dia masih mahu mempertahankan rumah tangganya dengan Adira demi anak-anak mereka. Malah ujarnya lagi, dia akan berusaha untuk menambat hati Adira dan selamatkan perkahwinan mereka.
Pasangan berkenaan tiba pada waktu berasingan di mahkamah. Datuk Red tiba jam 2.50 petang di mahkamah bersama dua rakannya dan kemudiannya Adira yang dilihat berseorangan jam 3.05 petang.
Terdahulu, rumah tangga pasangan berkenaan dikatakan berantakan namun kedua mereka menafikan dakwaan tersebut.
Adira dan Adnan bernikah di Songkhla, Thailand ebagai isteri kedua pada 3 Disember 2015. Hasil perkahwinan, pasangan berkenaan dikurniakan tiga cahaya mata, termasuk seorang anak perempuan baru berusia dua bulan lalu.