Hangat diperkatakan gosip cintanya dengan penyanyi Khai Bahar, Siti Nordiana berkata dia bukan tidak mahu berkahwin lagi, tetapi memikirkan penerimaan keluarga bakal mentua terhadap statusnya membuatkannya berat hati.
Menurut Nana, dia tidak boleh mengambil mudah dalam soal cinta kerana banyak hati yang perlu dijaga terutama keluarga belah lelaki sama ada mereka boleh menerima atau tidak status janda anak satu yang dipegangnya.
“Selain penerimaan anak tunggal saya, apa yang selalu difikirkan jika nak berkahwin baru ialah status diri sebagai janda anak satu.
“Sejujurnya, bolehkah keluarga lelaki yang sukakan saya itu terutama ibu bapanya terima status janda anak satu yang saya galas selama ini,” katanya kepada Harian Metro.
Pernah gagal dalam perkahwinan terdahulu, Nana berkata cinta sahaja tidak cukup layak untuk membina rumah tangga kerana restu ibu bapa dan keluarga sangat penting dalam sesebuah perkahwinan.
“Restu ibu bapa dalam perkahwinan sangat penting. Apatah lagi, untuk saya yang pernah gagal dalam perkahwinan yang lalu.
“Saling mencintai dan menerima di antara saya dengan bakal pasangan sahaja tidak cukup untuk kami layak membina rumah tangga,” katanya.