Sebut saja nama Fara Fauzana, bekas penyampai radio ini sentiasa menceriakan pendengarnya seawal 6 pagi lagi. Malah, ramai yang meluahkan rasa sedih apabila Fara membuat keputusan untuk mengundurkan diri pada 2016 untuk mendekatkan diri dengan Tuhan.
Hampir 10 tahun bekerja pagi di stesen radio, Fara memberitahu ramai yang berkata beruntungnya kerja di awal pagi dan sudah tentu waktu Solat subuh tidak pernah tinggal. Namun, Fara tidak malu mengakui lima tahun pertama bertugas dia tidak menunaikan solat Subuh.
Menerusi satu perkongsian, Fara berkata dia terfikir bagaimana untuknya meninggalkan studio untuk solat ketika itu kerana waktu kerja bermula jam 6 pagi dan ketika itu masuknya waktu Subuh.
“Saya bekerja di radio selama 10 tahun di waktu pagi. Orang boleh kata untungnya kerja pagi ni sebab solat Subuh tak pernah tinggal. Saya terus terang awal 5 tahun pertama, saya tak malu nak mengaku saya tak pernah solat Subuh.
“Kenapa, kerana 6 pagi dah bermula kerja dan 6 pagi dah mula Subuh. Saya tak tahu macam mana nak tinggalkan studio, macam mana nak solat, solat dekat mana. Pelbagai alasan yang saya rasa menyukarkan, langsung saya tak buat,” katanya.
Ujarnya lagi, kesedaran untuk melakukan suruhan wajib itu datang sedikit demi sedikit apabila dia melihat ramai rakan-rakannya boleh menunaikan solat Subuh dengan mudah.
Dalam pada itu, Fara mengakui pada awalnya agak sukar untuk menunaikan solat ditambah dengan kekangan waktu, namun tanggungjawab untuk menjadi Muslim yang baik menjadikan solat itu mudah.