Tahukah anda tentang kewujudan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 atau lebih dikenali sebagai PeKa B40?
Ianya merupakan satu lagi inisiatif kerajaan melalui Kementerian Kesihatan untuk membantu menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah dengan memfokuskan penyakit tidak berjangkit (NCD).
Seramai 800,000 bakal terima manfaat skim tersebut bermula April ini.
Apa yang perlu dilakukan?
Mudah saja, penerima hanya perlu membawa kad pengenalan ke klinik swasta yang menyertai Klinik PeKa B40 untuk buat pemeriksaan kesihatan (Manfaat 1).
Jika penerima disahkan menghidap penyakit dan perlu jalani pemeriksaan dan rawatan lanjut di hospital kerajaan, penerima akan layak mendapat 3 lagi manfaat seterusnya.
Tiada bayaran dikenakan kerana semuanya dibiayai kerajaan dengan dana RM100 juta.
Anak-anak sila pastikan ibu bapa atau saudara terdekat anda yang layak supaya mengambil peluang ini.
Berbeza dengan Skim Perlindungan Kesihatan mySalam, PeKa B40 diwujudkan atas beberapa faktor berikut:
+ 47.6% kumpulan B40 berumur 50 tahun dan ke atas menghidapi sekurang-kurangnya satu penyakit tidak berjangkit yang belum didiagnosis.
+ 3 daripada 10 orang dewasa menderita masalah kesihatan mental. Kumpulan B40 mencatat kadar yang lebih tinggi, iaitu 32% berbanding 28% bagi kumpulan bukan B40.
+ Kes kanser semakin meningkat. Lebih membimbangkan lagi apabila 60% dikesan pada peringkat lewat, di mana peluang untuk sembuh adalah lebih rendah.
+Ramai pesakit tidak melengkapkan rawatan kanser dan hanya kembali semula ke hospital apabila sudah tenat. Ini menipiskan peluang sembuh dan meningkatkan kos rawatan.
+Walaupun rawatan di Hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diberi subsidi yang tinggi daripada Kerajaan, sebahagian kos alat perubatan masih perlu ditanggung oleh pesakit seperti kos untuk perentak jantung, implan untuk tulang belakang, dan sebagainya. Ini menambah beban kewangan kepada mereka yang kurang berkemampuan.
+Ramai pesakit yang kurang berkemampuan, terutamanya di kawasan pedalaman, tidak meneruskan rawatan akibat kekangan kewangan untuk membayar tambang pengangkutan.
Dengan peruntukan sebanyak RM100 juta, PeKa B40 dijangka mampu membantu 800,000 penerima buat permulaan.
SEMAKAN PEKA B40 ONLINE
Untuk makluman, tiada pendaftaran diperlukan untuk program tersebut.
Sekiranya anda penerima Bantuan Sara Hidup 2019 dan berumur 50 tahun ke atas, maka anda secara automatik layak menerima manfaat program Skim Peduli Kesihatan ini.
Untuk lebih yakin, anda boleh semak kelayakan di https://kelayakan.pekab40.com.my/semakan-kelayakan
Anda hanya perlu masukkan nombor kad pengenalan dan klik butang SEMAK.
MANFAAT SKIM PEDULI KESIHATAN B40
Berikut dikongsikan empat manfaat program PeKa B40 iaitu:
- Manfaat 1: Saringan Kesihatan
- Manfaat 2: Bantuan Alat Perubatan
- Manfaat 3: Insentif Melengkapkan Rawatan Kanser
- Manfaat 4: Insentif Tambang Pengangkutan
Proses mendapatkan manfaat PeKa B40 adalah seperti berikut:
- Langkah 1: Semak kelayakan di sini.
- Langkah 2: Jika layak, lawati klinik PeKa B40 berdekatan yang dikenalpasti melalui pelekat logo PeKa B40 dengan membawa MyKad. Senarai klinik juga boleh didapati di sini.
- Langkah 3: Pemeriksaan kesihatan akan dilakukan semasa lawatan pertama di klinik.
- Langkah 4: Lawatan kali kedua untuk mengetahui keputusan makmal daripada doktor dan juga tindakan susulan samada rujukan ke Fasiliti KKM atau Program Sihat Cergas KKM.
Berikut adalah huraian setiap manfaat:
Manfaat 1: Saringan Kesihatan
Setiap penerima perlu menjalani saringan kesihatan di mana-mana klinik yang berdaftar dengan PeKa B40 bagi mendapatkan ketiga-tiga manfaat lain.
Saringan kesihatan ini merangkumi:
- pengambilan sejarah kesihatan dan penyakit individu dan keluarga termasuk faktor risiko kesihatan
- saringan kesihatan mental
- pemeriksaan fizikal
- pemeriksaan klinikal payudara untuk penerima wanita, dan pemeriksaan klinikal prostat untuk penerima lelaki yang berisiko
- ujian darah dan ujian air kencing
Saringan kesihatan ini boleh dibuat secara PERCUMA kecuali jika penerima bersetuju untuk dirawat oleh Klinik Swasta, penerima PeKa B40 perlu membayar kos rawatan itu sendiri.
Manfaat 2: Bantuan Alat Perubatan
Melalui manfaat ini, PeKa B40 menyediakan bantuan sehingga RM20,000 bagi membeli alat-alat perubatan seperti:
- tent untuk jantung
- Alat sendi tiruan
- Alat bantuan pendengaran
- Perentak jantung
- Prostesis dan implan untuk tulang belakang
- Prostesis dan ortosis tulang anggota
- Kanta mata intraokular
- Alat terapi pernafasan dan oxygen concentrator
- Bantuan sokongan nutrisi
- Kerusi roda
Manfaat 3: Insentif Melengkapkan Rawatan Kanser
Sekiranya penerima disahkan mengidap kanser, penerima akan menerima bayaran RM1,000 untuk melengkapkan pelan rawatan di hospital KKM.
Pembayaran dipecahkan kepada dua kali bayaran dan dibayar secara terus ke akaun penerima.
Manfaat 4: Insentif Tambang Pengangkutan
Dan menariknya di bawah program ini penerima akan menerima bantuan RM500 (Semenanjung) / RM1,000 (Sabah / Sarawak) bagi meringankan beban membayar kos perjalanan mendapatkan rawatan di hospital.
Jumlah insentif tambang yang akan diberikan adalah tertakluk kepada jarak antara hospital dan rumah penerima dan pada kadar yang telah ditetapkan.
Diharapkan bantuan kerajaan ini sedikit sebanyak meringankan beban anda.
Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi pejabat PeKa B40 di alamat berikut:
ProtectHealth Corporation Sdn Bhd
F01 & F02, Tingkat 1, Blok 2300,
Century Square, Jalan Usahawan,
63000 Cyberjaya, Selangor
Telefon: +603 8687 2500
Emel: info@pekab40.com.my