Mangsa banjir di Kelantan, Terengganu meningkat lebih 15,000

Posted on

Mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu terus mencatatkan peningkatan dengan jumlah terkini adalah 15,126 orang melibatkan 4,901 keluarga pagi ini.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 10,207 orang melibatkan 3,480 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 10,078 mangsa (3,437 keluarga) malam tadi.

Aplikasi InfoBencanaJKM menunjukkan Pasir Mas kekal sebagai jajahan paling ramai mangsa dipindahkan iaitu seramai 5,751 (2,268 keluarga) melibatkan 28 pusat pemindahan sementara (PPS).

Ia diikuti Kuala Krai seramai 1,075 mangsa (265 keluarga) di 16 PPS, Pasir Puteh 826 mangsa (219 keluarga) di lapan PPS dan Kota Bharu 733 mangsa (209 keluarga) ditempatkan di lima PPS, manakala di Tanah Merah 642 mangsa (179 keluarga) di 13 PPS, 619 mangsa (190 keluarga) di tiga PPS di Tumpat dan 203 mangsa (61 keluarga) di enam PPS di Machang.

Dua PPS di Jeli menempatkan 179 mangsa (45 keluarga) dan 179 mangsa (44 keluarga) di dua PPS Bachok.

Sementara itu, laman sesawang ebanjirkelantan menunjukkan paras Sungai Golok di Rantau Panjang menurun sebanyak 0.3 meter kepada 10.58 meter berbanding 10.61 meter malam tadi, namun masih melepasi paras bahaya 9.0 meter.

Sungai Golok di Kuala Jambu juga masih melepasi paras bahaya iaitu pada bacaan 3.21 meter (bahaya 2.5 meter).

Tiga sungai melepasi paras amaran iaitu Sungai Golok di Jenob pada bacaan 22.74 meter (amaran 22.5 meter), Sungai Kelantan di Jambatan Guilemard 15.5 meter (amaran 14 meter) dan Sungai Kelantan di Kuala Krai 23.38 meter (amaran 22.5 meter).

Tiga sungai pula melepasi paras berjaga-jaga iaitu Sungai Lebir di Tualang 29.94 meter (berjaga-jaga 27 meter), Sungai Galas di Dabong 33.40 meter (berjaga-jaga 32 meter) dan Sungai Kelantan di Tambatan Diraja 3.86 (berjaga-jaga 3.0 meter).

Tiada sebarang jalan utama ditutup dan setakat ini, dua individu dilaporkan telah terkorban.

Di Terengganu, jumlah mangsa setakat pagi ini meningkat sedikit kepada 4,919 orang daripada 1,421 keluarga berbanding 4,908 orang (1,425 keluarga) malam tadi.

Mereka ditempatkan di 120 PPS di lapan daerah.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman berkata, Kuala Terengganu adalah daerah terbaharu dilanda banjir malam tadi yang kini menempatkan 22 mangsa (empat keluarga) di satu PPS dekat Manir.

“Di Besut, yang merupakan daerah paling teruk terjejas, jumlah PPS kekal di 51 lokasi dengan jumlah mangsa tidak berubah iaitu 1,879 mangsa daripada 503 keluarga.

“Setiu pula merekodkan penurunan iaitu 1,406 orang (398 keluarga) di 26 PPS berbanding 1,435 mangsa (408 keluarga) malam tadi. Situasi banjir di Hulu Terengganu juga tidak berubah, masih dengan 889 mangsa daripada 331 keluarga di 16 PPS,” katanya.

Di Dungun pula berlaku sedikit peningkatan iaitu seramai 410 mangsa (106 keluarga) di 15 PPS berbanding 403 mangsa daripada 108 keluarga malam tadi.

Begitu juga di Marang, jumlah mangsa meningkat sedikit kepada 129 orang daripada 27 keluarga di lima PPS berbanding 121 mangsa daripada 26 keluarga malam tadi.

Di Kuala Nerus, jumlah mangsa meningkat sedikit kepada 160 orang (46 keluarga) di empat PPS berbanding 157 mangsa daripada 43 keluarga malam tadi.

Dalam pada itu, portal Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan, hanya Sungai Nerus di Kampung Langkap melepasi paras bahaya pagi ini iaitu bacaan setinggi 21.23 meter berbanding paras bahaya 21 meter.

Di Johor, jumlah mangsa yang terjejas akibat banjir di Batu Pahat, kekal 52 orang mangsa setakat jam 8 pagi ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon berkata, semua mangsa merupakan 13 keluarga yang masing-masing dari Kampung Parit Betong, Kampung Parit Abdul Hadi dan Kampung Parit Ju.

Kesemua mereka kini ditempatkan di pusat pemindahan, Sekolah Agama Seri Comel yang dibuka sejak Ahad petang.

Menurut beliau, keadaan paras air di kediaman yang terlibat memperlihatkan penurunan. – Bernama

sumber : sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.