Lebih 200 agensi, NGO bantu bersih rumah mangsa banjir

Posted on

KUALA KRAI – Lebih 200 wakil agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) terlibat dalam kerja-kerja pembersihan pasca banjir di Kampung Chuchoh Puteri Adan Sungai Sok, di sini hari ini.

Kerja-kerja pembersihan itu melibatkan 75 buah rumah di Kampung Chuchoh Puteri A dan 40 buah rumah di Kampung Sungai Sok.

Selain Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah, kerja-kerja pembersihan turut dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pejabat Tanah Kuala Krai dan Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK),

Pegawai APM Daerah Kuala Krai, Kapten (PA) Mohd Hanif Omar berkata, mereka turut dibantu NGO Jabatan Amal Malaysia dan Pertubuhan Sukarelawan Rakyat Kelantan (Mesra).

Katanya, pasca banjir menyeluruh jawatankuasa pengurusan bencana daerah itu adalah usaha membantu mangsa banjir yang terkesan akibat banjir 1 Disember lalu.

“Kerja-kerja pembersihan bermula pada jam 8.30 pagi namun terdapat kesukaran apabila bekalan air masih belum ada dan terpaksa menggunakan air sungai.

“Bagaimanapun, kerja-kerja pembersihan dapat disempurnakan hari ini dan berjalan dengan lancar kerana keadaan cuaca juga baik,” katanya.

Bagi penduduk Kampung Chuchoh Puteri, Ramlah Dolah, 56, dengan kudrat tuanya, belum mampu dia dapat membersihkan rumah tanpa bantuan.

“Pakaian yang kena selut dan lumpur sahaja mengambil masa seminggu untuk membersihkannya jika cuaca baik.

“Semua barang-barang dalam rumah rosak dibadai banjir. Bukan mudah nak pulih dari kesan sekelip mata memusnahkan segalanya.

“Saya berharap ada bantuan sewajarnya disalurkan kepada kami yang terkesan dalam bencana luar biasa ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.