Anda mempunyai bayaran pinjaman yang tertunggak? Jika anda risau diganggu oleh pengutip hutang, teruskan membaca untuk ketahui hak anda apabila dikunjungi pengutip hutang.
Kandungan
- 1 Siapa Pengutip Hutang?
- 2 Apa Hak Anda?
- 3 Hak Anda Kepada Maklumat
- 4 Ada Had Masa Terhadap Hutang Anda
- 5 Pengutip Hutang TIDAK BOLEH Menggunakan Kekerasan
- 6 Pengutip Hutang Tidak Boleh Menghubungi Pemiutang Lebih dari 3 Kali
- 7 Pengutip Hutang Tidak Boleh Mengancam Anda
- 8 Maklumat Anda Tidak Boleh Dikongsi
- 9 Bagaimana Cara untuk Membuat Aduan?
Siapa Pengutip Hutang?
Pengutip hutang, atau ejen pemungut hutang, adalah agensi yang biasanya diupah oleh bank, syarikat telekomunikasi, atau syarikat utiliti. Agensi ini menawarkan perkhidmatan untuk memungut hutang dari individu, perniagaan, atau syarikat jika penghutang gagal membuat bayaran.
Namun, oleh kerana pelaksanaan undang-undang agak longgar dalam bidang ini pengutip hutang, masalah timbul apabila pengutip hutang bersikap melampaui batas sewaktu menjalankan perkhidmatan mereka. Perkhidmatan kutipan hutang sebenarnya sah disisi undang-undang jika ianya dilaksanakan oleh pengutip hutang yang berlesen di Malaysia. Seperti yang dinyatakan oleh Bank Negara Malaysia, bank dibenarkan untuk menggunakan servis pengutip hutang, dengan beberapa terma dan syarat yang perlu dilaksanakan untuk memastikan agensi pengutip hutang menjalankan perkhidmatan mereka dengan beretika.
Apa Hak Anda?
Bank Negara Malaysia telah menggariskan beberapa panduan untuk diamalkan oleh pengutip hutang. Proses pemungutan hutang perlu dilakukan dengan tindakan yang adil kepada penghutang, termasuk melindungi privasi sewaktu mengutip hutang. Dibawah garis panduan yang disediakan, pihak bank yang menggunakan ejen pengutip hutang perlu pastikan:
- Memupuk standard professionalisme yang tinggi sewaktu mengutip hutang.
- Memastikan ejen menggunakan tindakan yang beretika dalam mengutip hutang.
- Tidak menggunakan kekerasan.
- Memberikan notis pemberitahuan terlebih dahulu kepada penghutang.
- Menunjukkan kad kuasa.
- Memastikan maklumat penghutang tepat dan jelas.
- Mematuhi undang-undang berkaitan perlindungan maklumat dan privasi.
Hak Anda Kepada Maklumat
Jika anda dihubungi oleh pengutip hutang, anda boleh meminta mereka untuk menunjukkan kad kuasa, nama syarikat pemungut hutang, dan notis makluman hutang anda.
Ada Had Masa Terhadap Hutang Anda
Di Malaysia, di bawah Akta Had Masa 1953, wujud had masa yang diperuntukkan untuk pemiutang mengambil tindakan keatas penghutang. Pemiutang perlu mengambil tindakan undang-undang dalam tempoh masa tersebut. Dalam kes ini, tempoh masa yang dikenakan ialah 6 tahun. Selepas tempoh tersebut, institut kewangan tidak boleh mengambil tindakan terhadap penghutang yang tidak membayar hutang.
Sebagai contoh, katakan anda memohon pinjaman peribadi dari bank pada tahun 2017, dengan tempoh bayaran semula selama 7 tahun. Jadi, anda sepatutnya telah melangsaikan bayaran pinjaman tersebut pada tahun 2024. Sekiranya anda masih belum berbuat sedemikian, bank diberikan tempoh masa sehingga 2030 untuk mengambil tindakan undang-undang.
Jadi, jika ejen pengutip hutang berjumpa dengan anda untuk hutang yang anda pinjam lebih dari 6 tahun yang lalu, mereka tidak berhak untuk mengambil tindakan undang-undang disebabkan had tempoh tersebut. Tempoh masa ini biasanya sama untuk semua produk dari bank, dari kad kredit hingga ke pinjaman.
Pengutip Hutang TIDAK BOLEH Menggunakan Kekerasan
Menurut “Garis Panduan Pungutan Hutang” yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia, ejen pemungut hutang tidak boleh menggunakan kekerasan sewaktu memungut hutang. Ini bermakna sewaktu berjumpa pemiutang, ejen tidak boleh mengugut, memukul, ataupun menggunakan bahasa kesat semasa memungut hutang.
Pengutip Hutang Tidak Boleh Menghubungi Pemiutang Lebih dari 3 Kali
Jika ejen pengutip hutang sering kali menghubungi anda serta datang ke tempat kerja atau rumah, anda boleh memfailkan aduan ke Bank Negara Malaysia. Ini kerana, syarikat pemungut hutang tidak boleh menghubungi pemiutang lebih dari 3 kali seminggu. Jika mereka melanggar arahan ini, anda boleh membuat aduan.
Pengutip Hutang Tidak Boleh Mengancam Anda
Pengutip hutang tidak boleh mengancam anda dan juga menggunakan tindakan yang luar dari undang-undang untuk memaksa anda membayar hutang tersebut. Ini termasuklah menceroboh ataupun membuat kerosakan. Mereka juga tidak dibenarkan untuk mengikuti anda dari tempat kerja, dan juga mengintip lokasi anda.
Maklumat Anda Tidak Boleh Dikongsi
Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) memainkan peranan penting untuk melindungi hak individu bagi mengelakkan syarikat menjual, berkongsi, atau menggunakan maklumat anda bagi kepentingan pihak ketiga. Akta ini mengandungi pelbagai garis panduan yang meliputi pengumpulan, penggunaan, pendedahan serta perlindungan maklumat yang diberikan individu untuk tujuan komersial. Jika anda dapati ejen pengutip hutang telah menggunakan maklumat anda untuk memalukan atau memaksa anda membayar hutang (seperti mendedahkannya kepada rakan-rakan), mereka telah melanggar peraturan dibawah akta ini.
Bagaimana Cara untuk Membuat Aduan?
Anda boleh memfailkan aduan dengan bank berkenaan jika ejen pengutip hutang melanggar etika diatas. Jika anda tidak berpuas hati dengan cara bank menangani aduan anda, anda boleh failkan aduan anda terus ke Bank Negara Malaysia di:
BNMTELELINK (Pusat Hubungan Pelanggan)
1-300-88-5465
Waktu operasi: 9:00 am – 5:00 pm (Isnin – Jumaat)
BNMTELELINK (Pejabat Pusat Khidmat Pelanggan)
Bank Negara Malaysia
Ground Floor, D Block
Jalan Dato’ Onn
50480 Kuala Lumpur
Waktu operasi: 9:00 am – 5:00 pm (Isnin – Jumaat)
Sebelum ejen pengutip hutang menghubungi anda, pihak bank biasanya telah menghantar notis pemberitahuan kepada anda untuk membayar hutang terlebih dahulu. Jangan abaikan panggilan telefon, surat, atau notis e-mel dari bank berkenaan dengan pembayaran pinjaman anda. Sebaliknya, hubungi pihak bank sekiranya anda mengalami masalah dalam membuat bayaran semula. Bank boleh menawarkan penstrukturan semula bayaran bagi membantu anda kerana pihak bank juga ingin mengurangkan jumlah pinjaman tidak berbayar (non-performing loans)
1 comment