Memberi sememangnya lebih baik daripada menerima, bukan mudah untuk memupuk diri untuk mengikhlaskan apa yang disayangi untuk diberikan kepada orang lain. Amalan berkongsi rezeki seharusnya menjadi amalan yang perlu diterapkan dalam diri.
Namun terdapat sesetengah pihak beranggapan bahawa kedatangan seseorang atau perkongsian rezeki itu boleh membawa bala dan mengurangkan rezeki yang ada. Terutamanya apabila terdapat pengemis datang ke premis perniagaan anda, mesti anda akan rasa tidak senang bukan. Ikuti penjelasan daripada Mufti soal menghalau pengemis dari premis perniagaan.
SOALAN
Assalamualaikum SS Mufti. Saya adalah seorang pengusaha kedai makan. Masalah yang saya ingin tanyakan berkaitan gejala pengemis. Sekarang ini saya melihat gejala pengemis semakin berleluasa. Ada pengemis yang mengemis di premis saya sehingga mengganggu pelanggan saya yang sedang menjamu selera. Adakah dibolehkan untuk saya menghalau pengemis dari memasuki premis saya? Adakah dikurangkan pahala sekiranya saya berlaku demikian kepada pengemis? Mohon penjelasan. Terima kasih.
JAWAPAN
Waalaikumussalam wrm. wbt.
Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.
Bersedekah adalah amalan yang mulia. Suruhan berkaitan sedekah ini dinyatakan begitu banyak di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Amalan bersedekah ini bahkan diganjarkan dengan pahala yang banyak bagi mereka yang benar-benar ikhlas dalam melakukannya. Allah SWT berfirman:
مَّن ذَا الَّذِي يُقْرِضُ اللَّـهَ قَرْضًا حَسَنًا فَيُضَاعِفَهُ لَهُ أَضْعَافًا كَثِيرَةً ۚ وَاللَّـهُ يَقْبِضُ وَيَبْسُطُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ
Maksudnya: “Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.”
(Surah al-Baqarah: 245)
Syeikh al-Maraghi menyebut, orang yang kaya sememangnya mesti memberikan lebihan hartanya kepada orang yang di sekitarnya. Sesuatu pinjaman tidak dikatakan pinjaman yang baik kecuali ia diberikan sesuai pada tempatnya, memenuhi keperluan dan dengan niat yang baik, supaya memberi manfaat yang baik kepada umat Islam menurut cara yang dibenarkan oleh Islam. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/537-538)
Demikian dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin Salam R.A, bahawa Nabi SAW telah bersabda:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ أَفْشُوا السَّلاَمَ وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ وَصَلُّوا بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ بِسَلاَمٍ
Maksudnya: “Wahai manusia, sebarkanlah salam, berikanlah makan dan sembahyanglah pada waktu malam ketika orang lain sedang tidur. Maka kamu akan masuk kedalam syurga dengan selamat.”
Riwayat Ibn Majah (1334) dan al-Tarmizi (176)
Imam al-Tarmizi menghukumkan sanad hadith ini sebagai hasan sahih.
Syeikh al-Mubarakfuri menjelaskan maksud ‘berilah makan’ ini ialah kepada golongan miskin dan anak-anak yatim. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 7/158)
Menjawab kepada persoalan di atas, perbuatan menghalau peminta sedekah atau pengemis di premis-premis perniagaan adalah satu perkara yang menyalahi galakan dalam al-Quran dan al-Sunnah. Ini kerana amalan bersedekah adalah satu amalan yang mulia dan terpuji. Adapun begitu, sekiranya seseorang itu tidak mahu bersedekah disebabkan tidak mampu atau apa jua alasan, maka tolakkan permintaan sedekah tersebut dengan sebaiknya. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT berikut:
قَوْلٌ مَّعْرُوفٌ وَمَغْفِرَةٌ خَيْرٌ مِّن صَدَقَةٍ يَتْبَعُهَا أَذًى ۗ وَاللَّـهُ غَنِيٌّ حَلِيمٌ
Maksudnya: “(Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar.”
(Surah al-Baqarah: 263)
Syeikh al-Maraghi menafsirkan bahawa ucapan yang baik dan menolak permintaan orang yang meminta sedekah dengan cara baik serta menutupi perbuatan orang yang meminta adalah lebih baik dan lebih besar faedahnya bagi kamu daripada kamu memberikan sedekah tetapi kamu iringi dengan sikap-sikap yang menyakitkan perasaan. Ini disebabkan sekalipun orang yang meminta kecewa kerana harapannya ditolak, tetapi pada hakikatnya kamu telah menggembirakan hatinya, bahkan dia tidak berasa malu kerana terpaksa meminta. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/604)
Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:
وَالْكَلِمَةُ الطَّيِّبَةُ صَدَقَةٌ
Maksudnya: “Perkataan yang baik adalah sedekah.”
Riwayat Muslim (2989)
وَأَمَّا السَّائِلَ فَلَا تَنْهَرْ
Maksudnya: “Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik.”
(Surah al-Dhuha: 10)
Syeikh al-Maraghi menyebut janganlah kamu mengusir orang yang meminta-minta tetapi berilah sesuatu kalau ada. Kalua tidak, tolaklah dengan cara yang baik. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 15/ 7627)
Begitu juga bagi mereka yang mampu dan memberi sedekah kepada pengemis, mereka tidak boleh juga untuk mengungkit pemberian tersebut. Kebajikan yang dilakukan tersebut bukanlah dikira sebagai satu lesen atau alat dalam melakukan keburukan yang makhluk yang lain.
KESIMPULAN
Sebagai kesimpulan, kami nyatakan bahawa amalan bersedekah adalah amalan mulia dan amat digalakkan di dalam Islam. Setiap muslim perlu ada niat dalam dirinya untuk bersedekah dalam kadar kemampuan dirinya. Perbuatan menghalau peminta sedekah atau pengemis premis-premis perniagaan adalah satu perkara yang menyalahi galakan dalam al-Quran dan al-Sunnah. Namun begitu, bagi mereka yang tidak mampu untuk bersedekah maka tolaklah permintaan tersebut dengan cara yang terbaik. Jangan menggunakan kata-kata cacian dan kesat terhadap mereka yang meminta sedekah.
Semoga penjelasan yang diberikan ini membimbing kita semua dalam menjalani kehidupan sebagai satu umat Islam yang membantu antara satu sama lain. Amin.