Jakarta : Penyanyi dangdut yang juga selebriti Indonesia, Lucinta Luna ditangkap selepas dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dadah jenis ecstacy.
Namun polis Indonesia kini bingung untuk menempatkan penyanyi transgender berumur 30 tahun itu, di lokap lelaki atau wanita, selepas selesai proses siasatan nanti sebelum menjalani proses tindakan perundangan selanjutnya.
“Sel (lokap) perempuan atau laki (lelaki), kami belum (memastikan), penahanan masih di ruang penyelidikan (bilik siasatan),” kata Ketua Bahagian Hubungan Masyarakat Polis Metro Jakarta Barat, Iptu Bachrun.
Menurut media tempatan, Lucinta atau nama asalnya, Muhammad Fatah ditahan di apartmennya di Thamrin City, Jakarta Pusat, pada 1.30 pagi Selasa.
Selebriti itu ditahan bersama-sama tiga lagi rakannya iaitu seorang wanita dan satu pasangan suami isteri, dan pihak polis menemukan beberapa pil ecstacy di apartmennya.
Sehingga hari ini, Lucinta masih disoal siasat polis Metro Jakarta Barat.
Sumber : Bernama