Mayat seorang bekas tentera yang meninggal dunia di Gua Baso, Bukit Selar, Kuala Balah akhirnya selamat dibawa turun pasukan penyelamat selepas enam jam menggunakan laluan bercerun.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner, Abdullah Mohamad Piah berkata, kawasan hutan masih belum diterokai itu juga menjadi faktor kelewatan mangsa yang hanya berjaya dibawa turun pada jam 8 pagi.
“Operasi menyelamat mangsa mengambil masa memandangkan tiada laluan mudah untuk keluar masuk. Helikopter bomba berpangkalan di Subang juga digunakan tetapi tidak dapat mengesan kedudukannya berikutan keadaan pokok yang rapat dan tebal.
“Berdasarkan keterangan empat rakan yang bersama mangsa, dia seperti diserang sakit jantung. Siasatan juga mendapati kejadian terbabit tiada unsur jenayah,” katanya. kepada media hari ini.
Beliau ditemui selepas Perasmian Kampung Angkat Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu – Taman Binaraya 3, Limbat di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Abdul Rahim Daud dan ADUN Pasir Tumboh, Abdul Rahman Yunus.
Pada 12 Februari lalu media melaporkan lelaki berusia lingkungan 40-an itu bersama empat lagi rakannya masuk ke dalam hutan dan mangsa dilaporkan meninggal dunia pada petang hari yang sama.
Abdullah berkata, mereka semua masuk ke dalam hutan dara tersebut untuk membuat laluan ‘jungle trekking’ bagi membawa sekumpulan pelajar memasuki hutan berkenaan.
“Seramai 19 anggota penyelamat terdiri daripada polis, bomba dan Angkatan Pertahan Awam Malaysia terlibat operasi menyelamatkan kumpulan tersebut selain dibantu penduduk kampung.
“Beberapa cubaan menurunkan mayat gagal kerana keadaan hutan itu sendiri. Sebelum ini 15 orang sudah berusaha tetapi masih tidak berjaya dan hari ni 19 kekuatan anggota digunakan,” katanya.
Menurutnya, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Jeli untuk proses bedah siasat.