Ashraf Sinclair disahkan meninggal dunia pada hari ini kerana serangan jantung. Ramai yang nyata terkejut dengan berita tersebut kerana Ashraf dikenali dengan mengamalkan gaya hidup dan pemakanan yang sihat. Sememangnya semua mengetahui bahawa pengamalan gaya hidup sihat adalah sangat penting.
Bukan sahaja Ashraf, kita pasti sering mendengar mengenai ramai lagi golongan muda yang meninggal dunia disebabkan oleh serangan jantung. Justeru, kita seharusnya lebih peka dengan keadaan ini dan mengambil pendekatan untuk sentiasa mengetahui mengenai masalah serangan jantung.
Ada banyak kemungkinan kenapa serangan jantung boleh menyerang golongan muda. Antaranya:
Gemar bersenam tapi tidak melakukan pemeriksaan jantung
Bersenam sememangnya boleh mengurangkan risiko penyakit jantung namun kita juga perlu rajin melakukan pemeriksaan terhadap keadaan jantung.
Sekiranya ada masalah, ia boleh dirawat lebih awal namun jika tidak ambil tahu langsung, kita boleh menderita penyakit jantung tanpa disedari. Jika diabaikan, serangan jantung boleh menyerang secara tiba-tiba.
Gaya pemakanan yang tidak sihat
Bersenam masih perlu seimbang dengan diet yang sihat. Seperti yang kita ketahui, makanan menjadi faktor utama dalam kesihatan tubuh badan. Jika pengambilan makanan anda sihat, tubuh juga akan sihat tetapi jika pengambilan makanan tidak sihat, tubuh akan jatuh sakit dengan mudah.
Makanan tidak sihat seperti makanan yag diproses mengandungi kolesterol yang akan meningkatkan risiko masalah jantung.
BACA : Antara 10 Soalan Yang Sering Ditanya Tentang Takaful
Tekanan darah tinggi
Penyakit jantung bukan sahaja disebabkan oleh makanan atau jarang bersenam, tetapi juga boleh disebabkan oleh tekanan darah tinggi. Ia boleh merosakkan arteri yang mengalirkan darah ke seluruh tubuh badan dan seterusnya menyebabkan kerosakan jantung.
Faktor utama darah tinggi adalah tekanan yang melampau. Tekanan tidak mengenal tua atau muda, kaya atau miskin, sesiapa sahaja boleh menghadapi tekanan. Jadi tidak pelik jika ada orang yang masih muda boleh terkena serangan jantung.
Sememangnya, penyakit jantung boleh dibendung daripada awal supaya keadaan yang tidak diingini tidak berlaku. Penjagaan kesihatan dengan pemakanan yang seimbang turut membantu seseorang untuk menjadi lebih sihat.
Sumber: WOWmenariknya.com