KUALA KRAI: Dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan, kekurangan itu bukanlah tiket untuknya berpeluk tubuh, sebaliknya wanita kental dari Kampung Sungai Pas, di sini mampu melakukan apa sahaja kerja seperti mereka yang normal.
Sesiapa kali pertama melihat keadaan fizikal Laila Setapa, 39, yang tidak memiliki sepasang tangan sehingga paras bahu pasti memikirkan banyak kesulitan dihadapinya.
Namun, sebaik diperlihatkan kemampuannya mengguna pisau, memasak di dapur, menulis dan memasukkan benang ke dalam jarum dengan menggunakan kaki pasti membuatkan ramai terpegun.
Bagi Laila, tiada apa yang menyukarkannya kerana sejak lahir lagi, sepasang kakinya bukan sahaja digunakan untuk berjalan tetapi juga menggantikan tangan bagi menguruskan diri, melakukan kerja rumah dan bekerja untuk kelangsungan hidup.
“Selepas tamat sekolah, saya bekerja di beberapa pasar raya di sekitar Kuala Krai dan tiada masalah untuk saya membuat kerja seperti orang lain seperti menyusun barang dalam kedai.
“Selain itu, saya juga pernah bekerja di bengkel jahitan dan diberi tugas menjahit butang, kelim tangan serta menampal manik.
“Mungkin bagi orang lain kerja menjahit tidak mampu dilakukan oleh orang seperti saya namun sepasang kaki ini langsung tidak kekok memasukkan benang ke dalam jarum dan menjahit,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, baru-baru ini.
Ketika ditanya mengenai pengalamannya ketika berada di bangku sekolah, Laila anak ketujuh daripada sembilan beradik, berkata dia dilayan seperti pelajar normal lain, cuma akan diberikan kerusi tambahan yang bertindak sebagai meja ketika menulis.
Laila berkata, sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pernah ditawarkan melanjutkan pengajian ke sebuah kolej di luar Kelantan, namun keluarga berat untuk melepaskannya kerana bimbang berdepan dengan kesukaran disebabkan kekurangannya itu.
Laila tinggal berdua bersama ibunya, Minah Awang Lah, 75, manakala semua adik-beradik yang lain tinggal berasingan kerana sudah berumahtangga.
Beliau tidak kekok langsung menguruskan kerja rumah, termasuk memasak malah dapur juga diletakkan di tempat rendah bagi memudahkannya.
“Memandangkan mek (ibu) pun sudah tidak larat, selalunya saya yang memasak. Semua proses memasak sama ada menyiang ikan atau ayam, kopek bawang hinggalah memasak atas dapur, memang tiada masalah bagi saya.
“Hanya jika ingin membuat masakan menggunakan santan sahaja saya memerlukan bantuan mek untuk memerah kelapa yang saya mesin untuk hasilkan santan,” katanya.
Ketika ditanya mengenai jodoh dan hasrat untuk berumahtangga, Laila berkata dia tidak terlalu memikirkan hal itu namun pada masa sama tidak menolak andainya dipertemukan dengan lelaki yang boleh menerima kekurangannya.
Beliau tidak meletakkan sebarang kriteria kerana sedar akan kekurangan dimilikinya tetapi apa yang diutamakan adalah keihklasan hati untuk menerimanya.
“Saya sering terfikir bahawa jika saya berkahwin nanti, mungkin akan membebankan orang dan disebabkan itulah saya tidak terlalu memikirkan soal jodoh serta serahkan pada Allah,” katanya.