Christchurch, 3 Mac – Satu mesej berbaur ugutan terhadap Masjid Al-Noor telah dimuatnaik dan dihantar melalui aplikasi media sosial di sini, seminggu sebelum ulang tahun tragedi keganasan Christchurch tahun lalu.
Menurut The Guardian, polis tempatan mendapat laporan dari orang awam pada pagi Isnin bahawa terdapat mesej ugutan ditujukan kepada masjid berkenaan dalam aplikasi Telegram.
Penggunaan aplikasi itu terkenal dalam kalangan ekstrimis berhaluan kanan, lapor portal berkenaan.
Sekeping gambar seorang lelaki memakai topeng sedang duduk di dalam kereta di luar masjid di sini telah dihantar melalui aplikasi tersebut, lapor AFP.
Mesej tersebut didakwa mengandungi ayat ugutan bunuh terhadap jemaah masjid berkenaan disertai emoji senjata api.
New Threat Made Against #Christchurch Mosque
A man posted a selfie of himself outside Masjid Al-Noor in Christchurch to a far-right chat group, threatening to kill worshippers at the mosque. #NewZealand #Islamophobia pic.twitter.com/iFxdwHGndG
— DOAM (@doamuslims) March 2, 2020
Susulan itu, pihak polis sedang mengenalpasti identiti lelaki yang membuat ancaman berkenaan.
Komander Daerah Canterbury, Superitendan John Price berkata polis yakin identiti suspek bakal diketahui dalam tempoh yang singkat.
“Kami ada petunjuk kukuh dan kami yakin akan dapat tahu identiti individu berkenaan,” katanya.
Tambahnya, rakyat semakin cakna terhadap ancaman menyasarkan komuniti Muslim tempatan selepas serangan ke atas dua buah masjid Christchurch tahun lalu.
Pihak polis juga mengetatkan kawalan di sekitar kedua-dua masjid terlibat ketika mendekati ulang tahun tragedi tersebut.
Tahun lalu, seramai 51 jemaah di Masjid Al-Noor maut ditembak oleh seorang pengganas ketika solat jumaat.
Siaran langsung serangan itu dimuatnaik ke Facebook oleh penyerang yang menembak mangsa bertubi-tubi sambil menceroboh masjid berkenaan.
Sumber: The Guardian, AFP