Tidak Wajib Bayar Fidyah Jika Tidak Sempat Ganti Puasa Kerana Uzur Syarie- Mufti

Posted on

Tidak lama lagi, umat Islam bakal menyambut kehadiran bulan Ramadan sekali lagi. Dalam pelbagai persedian yang dibuat oleh umat Islam sebelum tibanya bulan yang mulia ini, sudah tentu timbul dua tiga perkara bersangkut-paut dengan ibadah puasa dan hukum bagi kes tertentu.

Salah satunya mengenai mengenai hukum seorang wanita yang tidak sempat menggantikan puasa Ramadan hingga tiba Ramadan seterusnya kerana mengandung atau menyusukan anak.

Adakah wajib menggantikan puasa yang ditinggalkan serta membayar fidyah? Ikuti jawapan Mufti Wilayah Persekutuan di bawah.

Kandungan

Soalan:

Assalamualaikum wbt,

Adakah wanita yang tidak sempat menggantikan puasa Ramadhan sehingga tiba Ramadhan seterusnya wajib qadha’ dan membayar kafarah? Alasan dia menangguhkan ialah kerana mengandung atau menyusukan anak. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt,

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah ﷻ. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.

Di dalam Syariat Islam, mengandung dan menyusukan anak adalah bentuk keuzuran yang mengharuskan berbuka. Daripada Anas al-Ka’biy RA, Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى وَضَعَ عَنِ الْمُسَافِرِ الصَّوْمَ وَشَطْرَ الصَّلاَةِ، وَعَنِ الْحَامِلِ أَوِ الْمُرْضِعِ الصَّوْمَ

Maksudnya: “Allah SWT meringankan puasa dan memendekkan solat bagi orang yang bermusafir, sementara perempuan mengandung dan yang menyusukan anak, Allah meringankan puasanya sahaja.”

Riwayat al-Tirmizi (715) dan Abu Daud (2408)

Wajib ke atas wanita yang tidak berpuasa kerana mengandung atau menyusukan anak untuk menggantikan puasa selepas berlalunya Ramadhan. Jika dia tidak sempat menggantikannya, bukan kerana keuzuran, maka dia dianggap berdosa dan diwajibkan untuk membayar fidyah sebanyak satu cupak makanan ruji tempatan, seberat 600 gram. Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (2/92).

Berkata Syeikh Muhammad al-Zuhaili dalam al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (2/200):

“Adapun sekiranya seseorang itu melewatkan qadha puasa Ramadhan kerana suatu keuzuran; seperti sakitnya berpanjangan, menyusukan, mengandung, atau sentiasa musafir, sehingga masuk ke Ramadhan yang lain, maka tidak wajib fidyah akibat kelewatan ini, dan wajib qadha sahaja.”

Kenyataan yang sama dinukilkan daripada kitab al-Taqrirat al-Sadidah (Qism Ibadat) (hlm. 456) oleh Syeikh Hasan al-Kaf:

“Jika seseorang itu melewatkan qadha kerana suatu keuzuran seperti musafir, sakit, menyusukan, lupa dan jahil – maka dia tidak wajib bayar fidyah.”

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, jelas kepada kita bahawa ibu-ibu yang melewatkan ganti puasa, kerana uzur Syarie seperti sentiasa sakit, menyusukan anak, dan mengandung, adalah tidak wajib dikenakan fidyah, jika mereka tidak sempat menggantikan puasa sebelum tiba Ramadhan seterusnya.

Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman kepada pihak yang bertanya. Wallahua’lam.

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.