Unit Pemantauan Isu Hina Islam ditubuhkan bagi memantau penulisan atau provokasi bersifat menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam.
Pada awalnya Menteri di Jabatan Perdana, Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata unit yang memantau tindak-tanduk pihak tidak bertanggungjawab itu ditubuhkan berikutan berlakunya kes menghina Nabi Muhammad SAW dan perbuatan mempersenda agama Islam.
Tegas beliau, inisiatif menubuhkan unit yang diselia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu akan melakukan pemantauan membabitkan semua pentas media termasuk media sosial.
“Saya juga sudah meminta unit pemantau ini menerima sebarang aduan berkaitan penghinaan Nabi Muhammad SAW dan agama Islam, seterusnya dengan segera membuat laporan polis serta kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau aduan, sila WhatsApp segera ke talian hotline 010-3005260 atau e-mel kepada aduan@islam.gov.my,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berharap semua pihak dapat berganding bahu bagi menjaga dan mengekalkan keharmonian negara.
“Saya percaya, pihak berkuasa sudah melakukan tindakan sewajarnya untuk menangani isu ini. Di pihak saya, Menteri Agama, sama sekali tidak akan berkompromi dengan perbuatan menghina Nabi Muhammad SAW serta agama Islam.
“Negara kita mempunyai undang-undang, pihak yang bersalah mesti dijatuhkan hukuman setimpal,” katanya.
Kini unit tersebut telah diperketatkan dan beberapa platform telah disediakan untuk membuat aduan mengenai perkara tersebut seperti no telefon, email, whatsapp dan sebagainya.