Larangan Kencing Pada Lubang Di Tanah

Kenapa Dilarang Kencing Pada Lubang Di Tanah

Posted on

Larangan Kencing Pada Lubang

SOALAN:

Benarkah cakap orang kalau kita hendak kencing di luar rumah kita dilarang kencing di dalam lubang? Kenapa dilarang kencing dalam lubang?

JAWAPAN:
Memang benar antara adab qadha hajat pada selain tempat yang disediakan itu ialah menjauhi dari kencing di dalam lubang seperti lubang-lubang yang terdapat pada tanah atau pada dinding atau seumpamanya.

BACA: Biru Atau Putih Di Luar? Keliru Bila Nak Pakai Topeng Muka, Baca Penjelasan Jururawat Ini

Ada pun lubang yang memang telah disediakan seperti lubang pada mangkuk tandas maka tiadalah dilarang.

Diriwayatkan dari Qatadah daripada Abdullah bin Sarjin r.a. katanya sungguhnya Nabi saw bersabda:

لَا يَبُولَنَّ أَحَدُكُمْ فِي الْجُحْرِ وَإِذَا نِمْتُمْ فَأَطْفِئُوا السِّرَاجَ فَإِنَّ الْفَأْرَةَ تَأْخُذُ الْفَتِيلَةَ فَتَحْرِقُ أَهْلَ الْبَيْتِ وَأَوْكِئُوا الْأَسْقِيَةَ وَخَمِّرُوا الشَّرَابَ وَغَلِّقُوا الْأَبْوَابَ بِاللَّيْلِ قَالُوا لِقَتَادَةَ مَا يُكْرَهُ مِنْ الْبَوْلِ فِي الْجُحْرِ قَالَ يُقَالُ إِنَّهَا مَسَاكِنُ الْجِنِّ
“Jangan kamu sekalian kencing di dalam lubang tanah dan apabila kamu hendak tidur maka padamkanlah pelita kerana nanti mungkin ada tikus yang menjatuhkan pelita lalu membakar rumah kamu dan ikatlah serta tutuplah bekas-bekas minuman kamu dan tutuplah segala pintu bila waktu malam.” Berkata mereka bagi Qatadah: “Kenapa dilarang kencing dalam lubang tanah?” Jawabnya: “Sesungguhnya lubang tanah itu tempat tinggal jin.” (Hadith Imam Ahmad dan Abu Daud)

Hukum kencing dalam lubang-lubang pada tanah ini adalah makruh dan sebab larangan ini ialah kerana boleh jadi ada jin tinggal di dalam lubang tersebut atau haiwan yang menjadikan lubang sebagai tempat tinggal.

Tersebut pada kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah:

يُكْرَهُ التَّبَوُّل فِي ثَقْبٍ أَوْ سَرَبٍ ، وَهَذَا بِاتِّفَاقِ الْمَذَاهِبِ الأْرْبَعَةِ وَلأِنَّهُ رُبَّمَا خَرَجَ عَلَيْهِ مِنَ الْجُحْرِ مَا يَلْسَعُهُ ، أَوْ يَرُدُّ عَلَيْهِ الْبَوْل ، قَال النَّوَوِيُّ : هَذَا مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ ، وَهِيَ كَرَاهَةُ تَنْزِيهٍ
“Dimakruhkan kencing di dalam lubang-lubang pada tanah. Ialah yang sepakat segala mazhab yang empat. Ini adalah kerana terkadang keluar dari lubang itu haiwan yang akan menyengatnya atau terpecik atasnya air kencing.” Dan kata Imam Nawawi: “Ini telah sepakat atasnya dan makruh disini adalah makruh tanzih.”

Tersebut pada kitab Syarah Sunan Abu Daud:

لكن لاشك أن الإنسان عليه أن يجتنب البول في الجحر سواء كان فيها مساكن جن أو كان فيها دواب وحيوانات، فالإنسان لو بال في الجحر ثم خرج عليه من ذلك الجحر حية أو عقرب أو شيء ففزعه وقام ولوث نفسه بالنجاسة
“Akan tetapi tiada syak lagi bahawa hendaklah seseorang itu menjauhi dari kencing di dalam lubang tanah sama ada lubang itu tempat tinggal jin atau ada di dalamnya haiwan yang melata. Maka apabila seorang itu kencing di dalam lubang tersebut kemudian keluar dari dalam lubang itu haiwan seperti ular atau jengking atau suatu yang buatnya terkejut lalu bangun dan berlumurlah pakaiannya dengan najis.”

Tetapi jika yakin orang yang kencing itu bahawa dalam lubang itu terdapat haiwan yang dihormati syarak maka haram kencing di dalamnya.

Berkata Syeikh Bujairimi:

يَظْهَرُ تَحْرِيمُهُ إِذَا غَلَبَ عَلَى ظَنِّهِ أَنَّ بِهِ حَيَوَانًا مُحْتَرَمًا يَتَأَذَّى أَوْ يَهْلِكُ بِهِ
“Yang zahirnya adalah haram kencing di dalam lubang jika orang yang kencing itu mengetahui bahawa akan tersakiti haiwan yang dihormati syarak dengan sebab kencingnya atau binasa haiwan itu.” (Hasyiah Bujairimi ‘ala Tuhfah)

Berkata ulama’, hendaklah menjauhi dari kencing ke dalam lubang tanah kerana kemungkinan empat perkara:

  1. Mungkin di dalam lubang itu tinggal jin Islam maka menyakiti sesama saudara itu dilarang syarak.
  2. Mungkin di dalam lubang itu tinggal jin kafir lalu ia akan memudaratkan orang yang kencing itu.
  3. Mungkin di dalam lubang itu tinggal haiwan yang dihormati syarak maka menyakitinya adalah dilarang.
  4. Mungkin tinggal di dalam lubang itu haiwan yang berbisa seperti ular dan kala, maka ia akan menggigit orang yang kencing itu.

Ada pun jika buang air besar di dalam lubang tanah maka terlebih lagi dilarang syarak. Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Azhar Idrus

Join Telegram

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.