Pengecualian Perbaharui Lesen Memandu

Menteri Pengangkutan Umum Pengecualian Perbaharui Lesen Memandu Persendirian, Perdagangan

Posted on

Susulan penularan wabak Covid-19 yang sedang melanda dunia kini, pelbagai pejabat serta perniagaan terpaksa ditutup selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan yang merangkumi seluruh negara berkuat kuasa pada 18 Mac yang lalu.

Berikutan dengan itu, pelbagai urusan seharian yang melibatkan beberapa perkara penting seperti memperbaharui lesen kenderaan tidak dapat dilaksanakan.

Oleh disebabkan itu, Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong telah mengumumkan pengecualian kepada pemegang lesen memandu individu dan perdagangan. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti kenyataan media yang dikeluarkan seperti berikut:

Baca : Diskaun Sehingga 50 Peratus Untuk Pembayaran Saman Secara Dalam Talian

KENYATAAN MEDIA
DATUK SERI IR. DR. WEE KA SIONG
MENTERI PENGANGKUTAN MALAYSIA

TAJUK: PENGECUALIAN KEPADA SEMUA PEMEGANG LESEN MEMANDU INDIVIDU, PERDAGANGAN SEPANJANG TEMPOH PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN

LESEN MEMANDU PERSENDIRIAN

1. Menyedari kesukaran orang ramai untuk memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan perdagangan dan individu termasuk lesen vokasional (GDL dan PSV) dan lesen memandu atau Competent Driver’s License (CDL), saya sebagai Menteri Pengangkutan, telah menggunakan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 66 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dengan memberikan pengecualian kepada semua pemegang lesen memandu daripada keperluan memperbaharui lesen memandu masing-masing melalui suatu undang-undang khusus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa 25 Mac 2020.

2. Sebelum ini pemegang lesen memandu individu diminta untuk memperbaharui lesen secara atas talian melalui portal mySikap JPJ dan MyEG sepanjang tempoh PKP tetapi dengan pengumuman di atas, syarat keperluan untuk memperbaharui lesen memandu ini telah dikecualikan, bagi tempoh PKP.

3. Walaupun dengan adanya pengecualian khas ini, para pemandu dinasihatkan supaya membawa salinan sijil perlindungan atau e-cover note insurans ketika memandu sepanjang tempoh PKP. Ini bermakna, sesiapa yang mempunyai lesen memandu yang sudah luput masih boleh menggunakan kenderaan masing-masing dengan syarat kenderaan tersebut wajib memiliki perlindungan insurans yang sah. Namun begitu, para pemegang lesen perlu memperbaharui lesen masing-masing dalam tempoh 30 hari selepas PKP diisytiharkan berakhir.

LESEN KENDERAAN PERDAGANGAN DAN GDL

4. Berhubung Lesen Kenderaan Motor bagi kenderaan perdagangan dan GDL, Kementerian Pengangkutan memutuskan, isu berhubung keperluan mendapatkan kelulusan daripada PUSPAKOM dan pemandu kenderaan perdagangan bagi memperbaharui GDL serta laporan kesihatan yang sah sepertimana yang diperlukan dalam syarat-syarat permohonan pembaharuan lesen kenderaan komersial tidak lagi berbangkit memandangkan keperluan untuk memperbaharui lesen tersebut telahpun dikecualikan sepanjang tempoh PKP. Namun, para pemilik kenderaan perdagangan perlu memperbaharui LKM masing-masing dan adalah tertakluk kepada keperluan dokumen kelulusan yang berkenaan dalam tempoh 30 hari selepas PKP diisytiharkan berakhir.

5. Keputusan ini turut dibuat selepas Kementerian Pengangkutan mengambil inisiatif mengadakan perbincangan bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuk Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Takaful Malaysia. Paling penting, ia bertujuan memastikan perkhidmatan pembekalan barangan keperluan khususnya makanan kepada orang ramai tidak terjejas sepanjang tempoh PKP. Kementerian Pengangkutan sememangnya prihatin dengan keperluan serta keselamatan para pemandu dan pengguna jalan raya di seluruh negara.

6. Berikut merupakan rekod pemegang lesen jenis GDL yang akan tamat tempoh sah mengikut tarikh;

24 Mac 2020 : 328
25 Mac 2020 : 385
26 Mac 2020 : 356
27 Mac 2020 : 357
28 Mac 2020 : 348
29 Mac 2020 : 315
30 Mac 2020 : 369
31 Mac 2020 : 295

7. Sekali lagi diingatkan, seperti ketetapan undang-undang, semua pemilik kenderaan perdagangan dan pemilik kenderaan persendirian hendaklah memastikan kenderaan mereka mempunyai perlindungan insurans yang sah sepanjang tempoh PKP ini.

8. Saya ingin menasihati para pemandu dan pembantu pemandu supaya menjaga kesihatan diri sepanjang bertugas di barisan hadapan ketika ini. Jasa anda semua amat bermakna buat masyarakat dan negara ketika waktu sukar ini. Sebarang aduan / pertanyaan sila e-mel ke aduan@mot.gov.my , atau WhatsApp ke 019-2907723. Hotline MOT : 1800-88-7723 (8am-8pm). Atau boleh menghubungi Pusat Pengurusan Operasi Negara, Majlis Keselamatan Negara, di talian 03-88882010.

DATUK SERI IR. DR. WEE KA SIONG
MENTERI PENGANGKUTAN MALAYSIA
24 MAC 2020

Sumber: JPJ

Join Telegram

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.