Kegiatan judi dalam talian semakin berleluasa dan meningkat ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.
Tanpa mendedahkan butiran lanjut tangkapan, beliau berkata pihaknya mendapati sindiket terbabit menyasarkan orang ramai yang berada di rumah sepanjang PKP.
“Saya difahamkan kegiatan judi dalam talian ini semakin berleluasa. Sepatutnya dalam tempoh PKP ini, orang ramai duduk berehat di rumah dan tidak bermain judi dalam talian,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, di sini.
Abdul Hamid berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang dikesan bermain judi dalam talian di rumah.
Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid turut mendedahkan berlakunya peningkatan kes seludup rokok yang dipercayai menggunakan perkhidmatan penghantar makanan.
“Aktiviti penyeludupan rokok semakin berleluasa berikutan premis-premis jualan rokok kehabisan stok maka kegiatan seludup rokok meningkat.
“Mereka (penyeludup) ini menggunakan perkhidmatan penghantar makanan. Oleh itu, saya telah mengeluarkan arahan kepada semua petugas sekatan jalan raya untuk memeriksa kenderaan,” katanya.
Abdul Hamid berkata ada juga segelintir pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan menggunakan lambang atau logo penghantar makanan untuk melanggar PKP semata-mata untuk keluar rumah.