Seorang budak lelaki menggunakan taktik penyamaran dengan memakai kostum baby shark untuk curi-curi keluar dari rumahnya bagi bertemu dengan kawannya.
Kanak-kanak yang bernama Jalen Feimster itu memutuskan untuk mengenakan kostum tersebut bagi mengaburi mata ibunya bernama Christine yang berada di luar rumahnya di Ponchatoula, Louisiana pada ketika itu.
Taktik licik kanak-kanak itu hampir berjaya sebelum ibunya mula menyedari bahawa anaknya itu mempunyai kostum sama seperti kanak-kanak yang dia sedang perhatikan itu.
Menerusi satu perkongsian di akaun Facebook Christine, dia menulis: “Sedang saya asyik melayari Facebook saya, saya tertarik dengan sebuah perkongsian gambar berkenaan seorang kanak-kanak di dalam kostum Baby Shark di kawasan kejiranan saya.
Saya seperti, oh ada seseorang yang mempunyai kostum sama dengan Jalen. Kemudian saya tersedar bahawa, kanak-kanak di dalam kostum terbabit adalah anak saya.
“Tiap hari dia akan bertanya sama ada boleh bermain bersama kawannya atau tidak kepada saya. Dan saya kerap kali akan melarangnya kerana keadaan tidak selamat sekarang.
Jadi pada hari itu, ketika dia melintasi dengan kostum baby shark tersebut, saya ingatkan dia dan Jae masih bermain di garaj seperti biasa, tapi tidak.
Dia telah memutuskan untuk memakai kostum tersebut dan berjalan di kejiranan ini supaya dia boleh menjenguk kawannya dan melambaikan tangan kepada mereka. Saya tak tahu sama ada saya patut marah atau gelak melihat kerenah budak ini,” tulisnya.
sumber: Metro
Apple Dilaporkan Ingin Menghentikan Jualan Produk Beats
Beats Electronics diambil alih oleh Apple pada tahun 2014 pada harga $3 bilion. Jenama ini mempunyai reputasi sebagai peralatan audio yang digunakan oleh golongan selebriti dan kerap dilihat di dalam video muzik. Fon kepalanya pernah menjadi simbol status seperti AirPods beberapa tahun yang lalu. Tetapi kini kedengaran ura-ura Apple akan menghentikan jualan aksesori audio Beats.
Menurut Jon Prosser seorang penganalisa teknologi, Apple akan melancarkan sepasang fon kepala ketika WWDC dan AirPods X pada bulan September hadapan. Ura-ura mengenai fon kepala berjenama Apple telah didengari sejak 2018. Fon kepala ini akan bersaing dalam kelas yang sama seperti Bose 700 manakala AirPods X adalah pengganti kepada Beats X yang menyasarkan pengguna yang gemar bersukan,
Selepas kedua-dia aksesori audio Apple ini dilancarkan, pengeluaran aksesori audio Beats akan dihentikan. Malahan tambah beliau lagi produk Beats kini mula ditawarkan pada potongan harga 40% untuk mengurangkan inventori sedia ada.
Sejak diambil alih oleh Apple, imej Beats sebagai pengeluar aksesori audio yang berstatus tinggi tidak lagi seperti dahulu. Artis dan ahli sukan yang dahulunya menggunakan fon kepala Beats kini menggunakan AirPods yang dilihat lebih premium. Sekiranya produk Beats dihentikan jualannya, Apple dengan mudah boleh menumpukan perhatian kepada memasarkan produk audio yang menggunakan jenama mereka sendiri.