CAMERON HIGHLANDS, 11 April — Bagaikan melalui sebuah ‘pekan mati’, itulah ungkapan pertama terkeluar dari mulut penulis. Destinasi tumpuan ramai, Cameron Highlands ‘sepi’ berikutan semua premis perniagaan ditutup kepada orang ramai dalam usaha kerajaan mengekang penularan COVID-19.
Seiring dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac, tinjauan Bernama ke lokasi peranginan tanah tinggi itu kelihatan sunyi dengan bilangan pelancong dan tidak berlaku kesesakan lalu lintas seperti kebiasaan khususnya pada hujung minggu.
Namun begitu, sebahagian penduduk tempatan, terutama yang bekerja sebagai pekebun – iaitu dalam kategori perkhidmatan penting negara dilihat menggunakan pacuan empat roda berulang-alik di atas jalan raya membawa produk pertanian untuk pengedaran demi memenuhi permintaan bekalan makanan negara.
‘Hilux sayur’ sememangnya sinonim di Cameron Highlands dan ia satu pemandangan yang biasa apabila kenderaan itu dipenuhi muatan berada di atas jalan raya di daerah ini.
Difahamkan meskipun ada perniagaan pengusaha di tanah tinggi itu merudum sehingga 50 peratus, namun pengeluaran sayur-sayuran yang menjadi industri penting beroperasi seperti sedia kala, cumanya mereka mengehadkan masa bekerja di ladang di samping pengusaha turut melakukan langkah keselamatan tertentu terhadap pekerja mereka.
Seorang pengusaha tanaman strawberi yang hanya mahu dikenali sebagai Yusof, 40-an berkata sepanjang tempoh PKP beliau terpaksa mencatu jadual masa pekerjanya bekerja sehingga tengah hari sahaja, demi menampung kos operasi perniagaannya berikutan produk jem tidak dapat dipasarkan ke pasaran secara meluas.
Seorang pemandu hilux membawa muatan sayur-sayuran yang dikenali sebagai Yong, 33, ketika ditemui berkata pengeluaran industri sayur-sayuran masih beroperasi seperti biasa dan mereka tidak ada masalah untuk membawa keluar produk pertanian kerana permintaan dan penawaran masih ada daripada pemborong.
Penulis berada di tanah tinggi peranginan atas satu tugasan rasmi, semalam. Lazimnya tidak sah sebelum pulang ke ibu kota pastinya akan dibelikan ‘ole-ole’ seperti produk teh, sayur, strawberi dan jagung mutiara.
Namun disebabkan PKP, usaha untuk mencari ‘barangan wajib’ untukn dibawa pulang selepas tugasan selesai berakhir dengan tangan kosong meskipun telah memerhati dan mengharapkan ada penjaja berniaga sepanjang dari Ringlet, Tanah Rata, Brinchang, Terla, Kampung Raja hinggalah ke Blue Valley sebelum turun pulang melalui jalan Simpang Pulai.
Cameron Highlands adalah destinasi pelancongan terkenal sebagai pusat penghasilan dan pengeluaran sayur-sayuran dan bunga-bungaan yang utama di negara ini sejak pertanian mula diperkenalkan di daerah ini pada awal tahun 1930-an.
Secara keseluruhannya, Pahang adalah negeri terbesar pengeluar sayur-sayuran terutama kubis bulat yang ditanam di kawasan seluas 2,770 hektar, menghasilkan pengeluaran hampir 68,500 tan metrik dengan sumbangan terbesar dari Cameron Highlands sebanyak 68,400 tan metrik.
Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan anggaran kerugian keseluruhan dalam sektor pelancongan mulai Januari hingga Februari 2020 ialah RM3.37 billion akibat penularan wabak COVID-19.
Susulan itu, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan merangka pelan tindakan strategik bagi memperkasa industri pelancongan yang terjejas ekoran penularan wabak itu.
Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata pelan tindakan strategik itu adalah hasil perbincangan bersama Kementerian Kewangan dan agensi berkaitan bagi memperhalusi pandangan dikemukakan penggiat industri pelancongan, khususnya berkaitan bantuan kepada industri itu.
Sejak Januari hingga Mac, industri pelancongan dianggar mengalami kerugian bernilai lebih RM9 bilion.
Kerajaan akan membantu pengusaha sayur-sayuran untuk eksport di Cameron Highland, Pahang dan Lojing, Gua Musang bagi mengatasi lambakan bekalan itu sehingga terpaksa dibuang akibat tidak dapat dipasarkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini. pic.twitter.com/EAkKOFukEi
— BERNAMA TV 🇲🇾 (@BernamaTV) April 11, 2020
Sumber: Bernama