Siapa tidak kenal dengan pelakon veteran, Wan Maimunah yang terkenal dengan watak air mata. Namun, kali ini ia bukan sekadar lakonan, tangisannya benar-benar mengundang sebak orang ramai.
Wan Maimunah tidak dapat menahan sebak pada saat diziarahi Ustaz Sheikh Mohammad dan beberapa ustaz muda, beberapa hari lalu di kediaman anak angkatnya di Kota Puteri, Batu Arang, Selangor.
Betapa dia terharu menerima bantuan makanan untuk kegunaan harian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan masih ada lagi orang yang sudi bertanya khabarnya.
Video tangisan Wan Maimunah yang dikongsikan oleh Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin menjadi tular di media sosial.
Dalam pada itu, Ustaz Sheikh Mohammad berharap kerja amal dan bantuannya kepada golongan artis tidak diperbesarkan kerana dia hanya menjalankan tanggungjawab kecil kepada sebahagian masyarakat yang memerlukan.
Difahamkan, Ustaz Sheikh Mohammad bekerjasama dengan WHAM serta rakan selebriti seperti Zul Yahya dan Azza Elite dengan memberikan bantuan kepada pelakon-pelakon veteran.