Tidak Boleh Sambut Di Luar, Lelaki Ini Hadiahkan Reban Ayam Sempena Ulang Tahun Kelahiran Isteri

Posted on

Tular di laman sosial mengenai kisah seorang suami menghadiahkan sebuah reban ayam sempena ulang tahun kelahiran isterinya kerana tidak boleh ke mana-mana sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mohd Nazri Ismail, 40-an, berkata, pada tahun ini dia mahu memberi kelainan dan turut membuat kek sendiri sempena hari lahir isterinya, Rashidah A Rahman.

Mohd Nazri yang tinggal di Felda Sungai Koyan Dua, Raub Pahang mengatakan kedudukan rumahnya agak jauh dari bandar.

“Nak beli hadiah lain memang tak boleh kerana PKP. Kami duduk kampung jauh nak pergi ke bandar. Lagipun tak boleh keluar.

Jadi saya bercadang buat reban ayam baru untuk isteri. Lagipun dia suka bela binatang seperti ayam, puyuh dan itik. Maka tahun ini, hadiah hari lahir lebih unik daripada tahun sebelumnya,” katanya.

Terdahulu, kisah pasangan ini yang tular di media sosial menarik perhatian ramai termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Zulkifli menyifatkan kesungguhan menzahirkan kasih itulah hadiah yang paling berharga dan mendoakan pasangan ini berbahagia hingga ke syurga.

Mohd Nazri yang bertugas di kapal dagang berpangkalan di Dubai berkata, dia tidak kekok untuk memasak kerana ketika berada di atas kapal, sudah biasa berbuat sedemikian.

Selain memasak, sepanjang aktiviti PKP, Mohd Nazri juga akan berkebun dan membawa bapa mentua ke klinik kesihatan untuk menjalani rawatan dialisis.

Menurut Mohd Nazri, dia sepatutnya berada di Cairo atas tuntutan kerja bagaimanapun pada hematnya keluarga lebih penting semasa PKP dan rezeki boleh dicari.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.