tips kahwin tamat pkp

Nak Kahwin Selepas Tamat PKP? 7 Tips Ini Sangat Penting Untuk Bakal Pengantin Pertimbangkan

Posted on

Wabak Covid-19 yang menyerang negara menyebabkan banyak urusan perlu ditangguhkan sementara. Antaranya soal pekerjaan, persekolahan, percutian dan sebagainya.

Malahan, turut terkesan adalah pasangan yang merancang untuk berkahwin ketika pandemik. Ramai pasangan yang mengeluh kerana majlis sudah pun dirancang sejak berbulan-bulan tetapi akhirnya ditunda.

Tetapi yang menjadi persoalan, sampai bila perkahwinan harus ditunda?

Dalam keadaan yang penuh dengan ketidakpastian ini, tidak jawapan yang boleh diberikan. Segalanya bergantung kepada keadaan semasa.

Bagaimana jika keadaan semakin reda, bolehkah anda dan pasangan meneruskan rancangan untuk berkahwin ketika ‘musim’ Covid-19 ini?

Perkongsian oleh Hello Doktor seperti di bawah ini mungkin boleh membantu semua bakal pengantin di luar sana dalam membuat keputusan.

Bolehkah berkahwin ketika pandemik?

Sekiranya majlis perkahwinan yang dirancang adalah pada bulan-bulan seterusnya seperti Ogos, September mahupun Disember, bolehkah anda meneruskannya?

Sebenarnya, ia masih dikira dalam keadaan pandemik lagi.

Namun jika keadaan semakin pulih dan kes jangkitan juga sudah berkurangan atau tiada, cara terbaik adalah untuk melakukan perbincangan terlebih dahulu dengan ahli keluarga.

Jika pada masa sekarang sehingga bulan Mei, sebarang majlis perkahwinan perlu dibatalkan atau ditangguhkan.

Ini adalah bagi mengekang sebarang penularan wabak coronavirus.

Walau bagaimanapun, mungkin untuk bulan-bulan seterusnya, anda masih boleh meneruskan perancangan untuk berkahwin. Tetapi terdapat beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan.

Tip berkahwin ketika pandemik

Beberapa tip berikut adalah antara yang perlu anda pertimbangkan jika masih mahu berkahwin ketika pandemik, antaranya:

1. Panduan kesihatan

Apa yang perlu dibuat jika anda sudah mempunyai tarikh dan tempat bagi meneruskan majlis perkahwinan?

Paling penting, anda harus sentiasa peka dengan panduan kesihatan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).

Anda perlu tahu apa yang boleh dilakukan dan bagaimana cara untuk memastikan setiap tetamu yang hadir berada dalam keadaan selamat.

Contohnya, anda boleh sediakan hand sanitizer di pintu utama majlis diadakan dan juga mengamalkan cara sapaan menundukkan kepala berbanding bersalaman.

Pastinya anda tidak mahu menjadi penyebab individu jatuh sakit, bukan?

2. Bilangan tetamu

Siapa yang tidak mahu majlis perkahwinan meriah dengan kehadiran tetamu. Namun buat masa ini, anda perlu lebih mengutamakan aspek keselamatan. 

Jika sebelum ini anda merancang jemputan melebihi 2,000 orang, mungkin anda patut fokus memberikan jemputan kepada keluarga terdekat serta rakan-rakan baik anda sahaja.

Sudah tentu tindakan ini bagi mengurangkan risiko pendedahan kepada jangkitan virus.

3. Hidangan makanan

Biasanya majlis perkahwinan akan menyediakan hidangan makanan jenis bufet. Tetapi anda perlu mempertimbangkan sedikit perubahan.

Cadangan terbaik adalah untuk menyediakan hidangan makanan siap terhidang dalam bungkusan.

Ia sesuatu yang janggal, tetapi sudah pastinya tetamu yang hadir memahami tentang situasi semasa yang dihadapi.

4. Ringkas dan mudah

Dalam konsep hiasan bagi majlis perkahwinan pula, amat disarankan untuk anda memilih sesuatu konsep yang ringkas dan mudah.

Semua individu, khususnya wanita mahukan majlis yang meriah dan cantik dengan dipenuhi bunga segar, hiasan mewah dan sebagainya. 

Tetapi jika memilih untuk berkahwin ketika pandemik ini, pastinya ada beberapa keinginan yang tidak dapat dipenuhi.

Namun anda masih boleh bereksperimen dengan kreativiti anda, bukan?

5. Amalan kebersihan diri

Pastinya amalan melibatkan aspek penjagaan kebersihan diri menjadi keutamaan.

Anda perlu menyediakan dispenser pembersih tangan yang mencukupi. 

Sebaiknya tabiat mencuci tangan dengan kerap perlu sentiasa diamalkan serta menghindari sentuhan pada muka apabila berada di tempat awam. 

7. Siaran langsung

Sudah tentu anda akan berasa sedih apabila ada individu yang rapat tidak boleh menghadiri majlis perkahwinan anda.

Apa kata anda manfaatkan kemajuan teknologi yang ada?

Jika mereka tidak boleh menghadirinya, anda bawakan majlis anda kepada mereka dengan mengadakan siaran langsung perkahwinan anda. 

Kini ada pelbagai cara boleh digunakan, bukan? Facebook Live ataupun Instagram Live, pilihlah!

Bulan madu selepas majlis perkahwinan

Satu kebiasaan untuk pasangan baru berkahwin untuk berbulan madu selepas majlis diadakan.

Ia perkara yang boleh membantu mengeratkan hubungan pasangan baru bergelar suami isteri.

Namun, dalam tempoh pandemik ini, mungkin anda boleh memilih untuk berbulan madu dalam negara terlebih dahulu walaupun mungkin pada waktu itu wabak COVID-19 sudah semakin pulih. 

Atau pilihan yang lebih baik adalah untuk menangguhkan terlebih dahulu sebarang perancangan untuk berbulan madu sehingga keadaan benar-benar pulih. 

Fokus kepada perkara penting

Keputusan untuk berkahwin dengan insan yang anda cintai pasti satu perkara yang membahagiakan.

Namun kesan daripada penularan coronavirus, sudah tentu ia memberikan impak kepada majlis yang anda rancang.

Tetapi bukankah perkara paling penting adalah ikatan perkahwinan antara anda serta pasangan, dan bukannya majlis itu sendiri. 

Percayalah, ahli keluarga, rakan baik mahupun individu sekeliling anda akan memahami jika anda memilih untuk tidak melakukan sebarang majlis, hanya memfokuskan kepada majlis akad nikah atau mendaftar perkahwinan sahaja.

Sumber: Asyikin Md Isa via Hello Doktor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.