Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diarahkan untuk menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari bermula petang ini.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan itu diambil selepas salah seorang pegawai yang menghadiri mesyuarat pasca Kabinet di pejabatnya telah disahkan positif Covid-19.
“Perdana Menteri sudah menjalani ujian saringan COVID-19 pagi tadi dan disahkan negatif,” tulis kenyataan tesebut di laman web rasmi Pejabat Perdana Menteri.
Selain Muhyiddin, semua ahli mesyuarat tersebut juga telah diarahkan agar menjalani ujian saringan dan kuarantin di rumah masing-masing selama 14 hari bermula hari ini.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa setiap mesyuarat yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri mengamalkan penjarakan sosial dan penjagaan kesihatan yang ketat pada setiap masa.
Sumber : Berita Harian