Seorang bayi yang baru dilahirkan di Minahasa Tenggara, Sulawesi Utara, Indonesia, dilaporkan meninggal dunia dan disahkan positif jangkitan wabak Covid-19.
Menurut Pasukan Petugas Pengendalian Covid-19 negara itu, hasil ujian yang dikeluarkan pada Selasa (2 Jun 2020) mendapati bayi tersebut disahkan positif jangkitan ketika dilahirkan pada 19 Mei lalu.
“Bayi baru lahir itu termasuk di dalam kes 345 dari Minahasa Tenggara, dimasukkan ke sebuah hospital di Manado sebelum meninggal dunia pada 19 Mei,” kata Jurucakap Pasukan Petugas Pengendalian Covid-19 Sulawesi Utara, Steaven Dandel dalam satu kenyataan media.
Jelas Steven, bayi tersebut merupakan salah seorang daripada 15 kes baharu Covid-19 di kawasan tersebut.
Kesemua 15 kes adalah berasal dari Manado, Minahasa Utara, Bitung, Tomohon, dan Minahasa Tenggara.
“Kes paling banyak adalah dari Manado, dan lain-lain adalah suspek Covid-19 yang berada di dalam pemantauan dan pesakit yang berada dalam pengawasan dan telah disahkan positif jangkitan,” kata Steaven.
Menurut rekod, Indonesia mencatatkan sebanyak 27,549 kes Covid-19 dengan pertambahan 609 kes baharu dan 22 kematian setakat Selasa (2 Jun 2020), sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang maut ialah seramai 1,663.
Manakala, mangsa yang pulih dan sembuh adalah seramai 7,935.
Sumber: Kompas.com