Pendaftaran aplikasi MySejahtera dilaporkan sesak, orang awam disaran untuk cuba mendaftar kemudian dalam beberapa jam lagi.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah turut menasihatkan, kesesakan tersebut boleh diatasi sekiranya orang awam mempraktikkan penjarakan masa untuk mendaftar aplikasi tersebut.
“Didapati pendaftaran adalah sesak, kita mendapati 700 ribu pendaftaran serentak dalam masa yang singkat iaitu satu minit.
“Jadi kita menasihatkan mereka yang ingin muat turun aplikasi, mungkin kita (kena) adakan penjarakan juga. Kalau kita boleh amalkan penjarakan, maka tiada kesesakan di situ.
“Mungkin tempoh yang kita laksanakan, kalau semua mendaftar contohnya satu juta (atau) dua juta yang mendaftar dalam tempoh satu minit, pasti akan berlaku sesuatu (kesesakan) iaitu tidak dapat kita daftarkan,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.
Jelasnya, masalah kesesakan tersebut akan diatasi Kementerian Kesihatan (KKM), mungkin akan menambah tempoh masa pendaftaran bagi satu-satu masa tertentu.
Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan e-Wallet berjumlah RM50 akan dikreditkan ke akaun pengguna perkhidmatan tersebut sejurus mendaftar dengan aplikasi itu.
Pendaftaran untuk aplikasi MySejahtera sesak pada masa ini. Sila cuba mendaftar selepas beberapa jam. Harap maaf.
- CPRC KKM— KKMPutrajaya (@KKMPutrajaya) June 8, 2020
Sumber: Twitter KKM