APMM Jumpa Mayat Dalam Bot PATI Rohingya Yang Ditahan Cuba Ceroboh Perairan Langkawi

Posted on

Cubaan 269 pendatang asing tanpa izin (PATI) Rohingya untuk menceroboh perairan Langkawi ditumpaskan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam satu operasi pada awal pagi tadi (semalam).

APMM menerusi satu kenyataan berkata, operasi oleh Pasukan Polis Marin dan Kapal Maritim (KM) Kimanis itu pada awalnya berjaya mengesan lokasi serta memintas bot PATI tersebut untuk mengusirnya semula ke perairan antarabangsa.

“Ketika KM Kimanis menghampiri bot tersebut, seramai 53 orang PATI Rohingya telah terjun ke laut berenang menuju ke pantai dan kesemua mereka telah berjaya ditahan oleh pihak APMM yang tersedia di daratan.

“Ketika pemeriksaan ke atas bot dijalankan didapati seramai 216 PATI Rohingya dan seorang mayat PATI wanita dijumpai di dalam bot tersebut,” kata kenyataan itu hari ini.

Mengulas lanjut, pemeriksaan juga mendapati kesan bot telah sengaja dibocorkan dan enjin bot tersebut telah mengalami kerosakan yang teruk dan tidak dapat dibaiki.

Difahamkan, kerosakan yang dialami itu menyebabkan tindakan pengusiran tidak dapat dijalankan dan kesemua mereka diberi bantuan bekalan makanan beserta air bersih.

“Atas dasar kemanusiaan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah membenarkan bot berkenaan ditunda ke Jeti Teluk Ewa Langkawi.

“Kesemua 269 PATI kini ditahan dan diletakkan sementara di Kem Bina Negara Wawasan Langkawi.

“Manakala satu mayat PATI yang dijumpai telah diserahkan ke pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya,” jelas kenyataan itu lagi.

Sumber: Twitter

Join Telegram

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.