Kandungan
- 1 “PERCA kain putih, getah lusuh terpakai yang telah longgar, disulami dengan jahitan tangan. Tengok saja pada bentuk lipatannya, bersungguh-sungguh si ibu membuat mask kain yang menyerupai mask pakai buang untuk si anak. Ya, memang nampak selekeh. Tapi dia tetap berusaha semampunya tanpa mengeluh, tanpa meminta.
- 2 “Saya nampak dia pakai mask kain itu. Sedih sangat bila tengok keadaan mask tersebut.
- 3 “Pada hari yang sama, saya terus jumpa dengan dia dan memberi mask yang baru. Sempat juga saya bertanya jika dia ada adik beradik lain yang bersekolah selain dia. Ada tiga orang katanya di sekolah rendah.
- 4 “Selepas kisah perca kain putih dikongsi di facebook, saya menerima panggilan dari Yayasan Raja Shamri Foundation (The 3rd Force).
- 5 “Mereka mengirimkan dua kotak besar mask untuk diedarkan kepada asnaf-asnaf sekitar daerah Sandakan termasuklah untuk pelajar saya yang memerlukannya.
“PERCA kain putih, getah lusuh terpakai yang telah longgar, disulami dengan jahitan tangan. Tengok saja pada bentuk lipatannya, bersungguh-sungguh si ibu membuat mask kain yang menyerupai mask pakai buang untuk si anak. Ya, memang nampak selekeh. Tapi dia tetap berusaha semampunya tanpa mengeluh, tanpa meminta.
Itulah bait-bait ayat yang ditulis Cikgu Maisarah Hannan Chong Abdullah menerusi laman facebooknya, baru-baru ini.
Katanya lagi…
“Saat-saat susah seperti ini hanya sebahagian dari hidup kita, jangan pernah putus asa untuk terus berjuang.
Menerusi aplikasi Messenger, wartawan GPS Bestari menemu bual Cikgu Maisarah Hannan mengenai perca kain putih dan pelajar itu.
“Dia pelajar Tingkatan Satu. Baik orangnya. Rajin belajar dan suka membantu guru-guru di sekolah,” katanya yang juga Guru Bimbingan dan Kaunseling di sebuah sekolah di Sabah.
Menurut Cikgu Maisarah, kisah perca kain putih ditulis setelah dirinya melihat pelajar itu beratur untuk mengambil makanan percuma.
“Saya nampak dia pakai mask kain itu. Sedih sangat bila tengok keadaan mask tersebut.
“Saya dekati dan bertanya padanya. Dia kata, ibunya yang jahit dengan menggunakan bahan yang terpakai,” katanya sebak.
Sebelum ini, pelajar berkenaan pernah menggunakan mask biasa yang dibekalkan oleh pihak sekolah.
Mungkin disebabkan mask tersebut rosak dan tidak dapat digunakan lagi, jadi dia memakai mask kain yang dijahit oleh ibu.
“Pada hari yang sama, saya terus jumpa dengan dia dan memberi mask yang baru. Sempat juga saya bertanya jika dia ada adik beradik lain yang bersekolah selain dia. Ada tiga orang katanya di sekolah rendah.
“Saya terfikir, bila si kakak menggunakan mask kain buatan sendiri, pasti adik-adiknya juga guna benda yang sama. Jadi saya beri lebih sikit mask untuk kegunaan adik-adiknya juga,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Cikgu Maisarah Hannan berkongsi berita gembira kepada kami.
“Selepas kisah perca kain putih dikongsi di facebook, saya menerima panggilan dari Yayasan Raja Shamri Foundation (The 3rd Force).
“Mereka mengirimkan dua kotak besar mask untuk diedarkan kepada asnaf-asnaf sekitar daerah Sandakan termasuklah untuk pelajar saya yang memerlukannya.
“Alhamdulillah, syukur sangat. Terima kasih buat Yayasan Raja Shamri Foundation ini,” katanya.