Kebiasaannya, pengawal keselamatan dilihat sebagai seorang yang sangat tegas namun berbeza pula dengan yang satu ini. Seekor kucing telah diambil ‘bekerja’ sebagai pegawai keselamatan baharu di Hospital Epworth, Richmond, Australia.
Kucing yang diberi nama Elwood itu dilihat sering merayau-rayau di sekitar kawasan hospital. Menurut seorang ahli patologi di hospital itu, Chantel Trollip, dia pertama kali bertemu kucing yang berwarna oren dan putih itu sekitar setahun yang lalu.
Pada bulan Julai yang lalu, dia mula menyedari bahawa kucing itu memakai kolar dengan lencana ID yang sama dipakai olehnya dan kakitangan hospital yang lain.
Tidak dapat dipastikan siapa yang memakaikan lencana tersebut namun ia kelihatan seperti sesuatu yang sudah rasmi.
Lengkap dengan gambar, nama dan jawatannya, Elwood dilihat mampu menggunakan kecomelannya untuk mencairkan hati sesiapa sahaja yang melihatnya.
“Dia mengiau dengan sangat comel dan manis dan saya merasakan bahawa sesiapa sahaja yang mempunyai niat buruk akan secara automatik mengubah rancangan mereka setelah mendengarnya,” kata Chantel.
Pada mulanya, kakitangan hospital menganggap bahawa Elwood sesat namun baru-baru ini mereka mendapati bahawa ia tinggal di seberang jalan. Kucing itu datang ‘bekerja’ setiap hari dan sangat ‘serius’ dengan ‘tugasnya’.
Sumber: My Modern Met