Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkongsi kepada masyarakat ‘slimming set’ atau set menguruskan badan yang sangat berkesan dan dijamin selamat untuk digunakan.
KKM dalam kenyataan di Twitter hari ini berkata, slimming set tersebut mempunyai tiga program yang perlu diikuti iaitu makan tanpa berlapar, air untuk detok dan bakar lemak.
Katanya, menerusi makan tanpa berlapar, setiap individu perlu mengamalkan pengambilan makanan menggunakan konsep suku-suku separuh sebanyak tiga kali sehari. Makanan tersebut yang lengkap dengan vitamin, mineral dan serat adalah lulus KKM dan dijamin kesihatan berpanjangan.
Selain itu, bagi membantu detoksifikasi badan secara semulajadi, air kosong juga perlu diminum sebanyak 6-8 gelas sehari. Bukan sahaja dijamin selamat, malah minum air kosong merupakan ‘petua’ awet muda.
Bagi membakar lemak degil, tidak perlu mengambil ‘fat burner’ di pasaran sebaliknya lakukan senaman sebanyak 5 kali seminggu. Senaman boleh membantu meningkat metabolisma dan mengurangkan stess. Malah anda akan tidur lebih lena dan dijamin bertenaga keesokkannya.
'Slimming set' yang sangat berkesan dan dijamin selamat oleh KKM. pic.twitter.com/chXtVqekdq
— KKMalaysia🇲🇾 (@KKMPutrajaya) September 6, 2020
Sumber: KKM Malaysia