Minggu lalu kontroversi melibatkan pelawak Ali Puteh dan kakak iparnya, Nor Hidayah kembali menjadi sebutan ramai apabila timbul isu saman-menyaman melibatkan kedua pihak pula.
Bagaimanapun, hari ini peguam Hidayah tampil menjelaskan bahawa tiada sebarang saman dikemukakan anak guamnya kepada ibu mentua, Sabariah Arshad seperti didakwa Ali Puteh, sebaliknya Sabariah bersama ahli keluarga yang lain menfailkan saman terhadap Hidayah.
“Kes ini bermula apabila kami memfailkan satu saman bagi pihak Hidayah terhadap Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan yang dikatakan mengeluar beberapa kenyataan yang menurut Hidayah berunsur fitnah terhadapnya.
“Kes ini difailkan sekitar Mei lalu dan baru-baru ini, Ali memfailkan satu lagi saman terhadap Hidayah. Tindakan saman yang dikeluarkan Ali turut bersama ibu, bapa dan kakak. Ini adalah tindakan yang berasingan yang dimulakan oleh kedua-dua belah pihak.
“Walau bagaimanapun, baru-baru ini ada usaha untuk menggabungkan dua tindakan itu. Kami ingin menjelaskan di sini bahawa kami tidak pada bila-bila masa menyaman ibu kepada Ali. Tindakan saman hanya terhadap Ali tanpa ahli keluarga lain.
“InsyaAllah perbicaraan tuntutan akan digabungkan dan didengar di mahkamah tidak lama lagi,” katanya.
Terdahulu, menerusi siaran langsung di Facebook, Ali Puteh menunjukkan surat saman yang dihantar peguam Nor Hidayah kepada ibunya. Bagaimanapun, Ali tidak menjelaskan kandungan terperinci surat berkenaan.
Menjelaskan mengenai surat saman yang dinyatakan Ali Puteh, peguam Hidayah berkata nama Sabariah turut tersenarai dalam tuntutan berkenaan sebagai pengesahan waris.