Nasihat MB: Tak payah salam!

Posted on

Tak payah salam! Itu nasihat berkali-kali diberikan kerajaan secara keseluruhannya, namun masih ada yang tidak buat endah.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, ada segelintir rakyat masih mengamalkan budaya bersalam akibat kurang kesedaran terhadap penyakit alaf baharu, pandemik koronavirus (Covid-19) yang mampu menular melalui sentuhan tangan tercemar virus.

“Bersalam adalah sesuatu yang agak sukar untuk kita dikikis supaya tidak berlaku kerana budaya itu masih lagi diamalkan.

“Jadi, sekarang kita hendak bersalam itu tidak berlaku lagi. Tak perlu salam. Lebih baik hati ke hati. Ketika ini, cukup itu,” katanya selepas Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan Kelantan juga mahu semua agensi terlibat supaya lebih tegas dan memperketatkan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Pematuhan perlu terutama dalam meningkatkan kesedaran rakyat terhadap bahaya jangkitan yang mampu merebak melalui virus yang tidak kelihatan ada tangan dan sebagainya.

“Langkah melalui penerangan supaya maklumat sampai kepada rakyat dan seperti disebutkan hari ini pihak masjid melalui khutbah hendaklah sentiasa mengambil berat serta memberi penekanan terhadap kesedaran rakyat dapat menjaga diri masing-masing dan SOP,” katanya.

Katanya, angka 2,188 kes baharu positif Covid-19 di seluruh negara semalam amat mengejutkan dan usaha pematuhan SOP perlu diperkemas terutama pihak Jabatan Kesihatan dan polis

Ahmad turut mengutarakan kebimbangan sekiranya rakyat tidak bersama kerajaan dan agensi dalam usaha ini selain masih ada yang tidak tahu tentang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPB.

“Penyakit Covid-19 ini tidak kelihatan, kami hendak rakyat takut sebagaimana takut pada harimau. Sekarang ini, menampakkan maklumat itu belum benar-benar dapat difahami,” katanya.

sumber : sinar harian

Join Telegram

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.