Polis Diraja Malaysia mengesahkan menerima dua laporan berkaitan skim pelaburan ‘Like dan Share’ yang mengakibatkan mangsa kerugian hampir RM20,000 baru-baru ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata dua laporan berkenaan dibuat oleh seorang lelaki yang bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat dan seorang wanita berpangkat pengarah.
“Susulan laporan itu, polis menyerbu sebuah premis di ibu negara, namun premis itu didapati kosong,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini (30 Nov).
Beliau berkata lelaki yang bekerja sebagai eksekutif itu mendakwa mengalami kerugian RM10,000, manakala mangsa wanita mendakwa kerugian RM9,888.
“Walaupun serbuan terhadap premis disyaki markas operasi gagal kerana ditutup sejak 9 Nov lepas, namun hasil risikan kami berjaya mengenal pasti beberapa warga tempatan yang menjadi dalang skim pelaburan itu,” katanya.
Sumber: Bernama