Bermula Hari Ini,Tiada had jumlah pelanggan di meja makan

Posted on

Bermula hari ini tiada lagi had jumlah pelanggan setiap meja di kedai makan, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, kelonggaran itu yang tertakluk kepada penjarakkan fizikal, terpakai di semua kawasan kecuali wilayah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Banyak saranan daripada orang awam (tiada had pelanggan di meja makan) kerana rentas negeri telah dibenarkan dan tiada had penumpang kenderaan, jadi ramai keluar dengan keluarga dan tak munasabah jika terpaksa duduk berasingan di kedai makan,” katanya pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Bagaimanapun tegasnya, beberapa kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan kerajaan sejak 7 Disember lepas bukan ‘lampu hijau’ untuk seluruh rakyat alpa kerana pandemik Covid-19 masih belum berakhir.

Ismail Sabri turut mengingatkan orang ramai khususnya yang pulang ke kampung menjelang sambutan Hari Krismas, agar sentiasa mematuhi semua SOP yang ditetapkan bagi mengelakkan penularan jangkitan pandemik itu.

“Kita menuju ke arah lebih banyak pembukaan (sektor) dan kelonggaran (SOP) kerana seperti kita tahu PKPP akan berakhir pada 31 Disember tetapi kerajaan belum buat keputusan yang seterusnya (lanjut atau tamat PKPP).

“Kita tidak selamanya terikat dengan peraturan ini (SOP), justeru kita yang bertanggungjawab secara kendiri menjaga kesihatan diri dan keluarga,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri turut menjelaskan walaupun kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri dan daerah di kawasan PKPB, penganjuran aktiviti sosial termasuk majlis perkahwinan masih tidak dibenarkan di kawasan terbabit.

“Ramai yang keliru apabila kerajaan membenarkan rentas negeri dan daerah di kawasan PKPB. Walaupun ada kelonggaran dari segi pergerakan, aktiviti sosial masih tidak dibenarkan.

“Hanya kawasan PKPP dibenar mengadakan majlis perkahwinan, mesyuarat misalnya. Namun perlu patuh SOP yang ditetapkan,” katanya.

Susulan kebenaran rentas negeri diumumkan di seluruh negara, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan berbincang dengan Majlis Keselamatan Negeri Sarawak mengenai pertimbangan semula arahan kuarantin wajib 14 hari apabila tiba di negeri itu.

Beliau berkata, kerajaan mengambil maklum keluhan rakyat Sarawak yang mahu pulang meraikan Hari Krismas kali ini namun terpaksa menjalani kuarantin wajib 14 hari seperti yang ditetapkan pihak berkuasa negeri mulai 10 Oktober lepas.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya telah diminta memperincikan beberapa cadangan untuk pertimbangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi pembukaan semula operasi beberapa destinasi pelancongan seperti Zoo Negara dan Legoland di Johor.

Katanya, Kementerian Belia dan Sukan juga perlu melakukan perkara sama bagi pertimbangan kebenaran aktiviti sukan seperti bola sepak dan futsal. – Bernama

sumber : sinar harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.