Kota Bharu: Seorang jururawat wanita di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, meninggal dunia malam tadi dipercayai akibat Covid-19.
Kematian itu menjadikan mangsa berusia 52 tahun adalah korban keenam Covid-19 di Kelantan.
Menurut ahli keluarga terdekat, mangsa, 52 tahun, yang juga ibu kepada dua cahaya mata itu meninggal dunia pada jam 10.15 malam tadi di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu.
Katanya, arwah dimasukkan ke hospital tersebut pada 7 Disember lalu dan disahkan positif Covid-19.
“Kami sekeluarga reda atas pemergiannya, sudah ketentuan Allah. Cuma agak sedih dengan keadaan begini, tak dapat iringi arwah hingga ke liang lahad.
“Suami dan anak-anak arwah pun masih dikuarantin, apa pun kita ikut SOP yang ditetapkan,” katanya yang enggan namanya disiarkan.
Malaysiakini difahamkan oleh sumber bahawa wanita itu didapati positif semasa melakukan kerja-kerja mengesan kontak rapat kluster Hilir yang berkaitan dengan HUSM.
Sementara itu, tinjauan kami di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nilam Baru, Kota Bharu, mendapati, jenazah dikebumikan kira-kira jam 11, pagi tadi.
Kira-kira 20 orang terdiri daripada Unit Hazmat Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan serta beberapa anggota keluarga terdekat arwah hadir.
Sumber lain memberitahu, arwah adalah ketua jururawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pembedahan HUSM dan antara kakitangan terawal dikuarantin sebaik wabak itu menular di hospital berkenaan.
Bagaimanapun difahamkan, uji saringan kali ketiga mendapati arwah disahkan dijangkiti wabak itu.
Sebagai rekod, kematian itu sekali gus merekod kematian keenam melibatkan jangkitan Covid-19 di Kelantan.
Setakat jam 12 tengah hari semalam (Selasa), kluster Hilir yang dikaitkan dengan HUSM merekodkan sejumlah 27 kes positif. Daripada jumlah itu, lima masih dirawat termasuk seorang di wad ICU, manakala 22 lagi disahkan sembuh.
Sumber : Malaysiakini